Gangguan air: Peniaga mengeluh pendapatan terjejas

Ikmal menunjukkan bekalan air yang disimpan di premisnya.
Ikmal menunjukkan bekalan air yang disimpan di premisnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga yang terkesan dengan gangguan bekalan air susulan insiden pencemaran sungai awal pagi tadi meluahkan kegusaran kerana sumber pendapatan mereka semakin terjejas.

Penularan wabak koronavirus (Covid-19) sebelum ini sudah cukup meninggalkan kesan mendalam kepada kebanyakan peniaga dan gangguan bekalan air yang berlaku ini pasti memberi tamparan hebat kepada mereka untuk terus kekal beroperasi.

Seorang peniaga di Medan Selera Serai, Seksyen 16, Ikmal Norazman, 21, berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini, pendapatannya sememangnya sudah terjejas ekoran kekurangan pelanggan dan masalah bekalan air yang berlaku di Selangor telah menambahkan lagi kesan buruk terhadap perniagaan mereka.

"Kami rugi 50 peratus sejak PKPB ini kerana kekurangan pelanggan dan masalah air ini menambahkan lagi bebanan kami untuk beroperasi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DIKEMASKINI] 1.2 juta akaun pengguna di KL, Selangor terjejas bekalan air

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah di kesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Peniaga di Medan Selera Serai, Seskyen 16 turut terkesan dengan gangguan bekalan air.
Peniaga di Medan Selera Serai, Seskyen 16 turut terkesan dengan gangguan bekalan air.

Mengulas lanjut, Ikmal berkata, beliau juga berkemungkinan terpaksa menghentikan operasi sementara waktu sekiranya bekalan air masih tidak pulih esok.

Artikel Berkaitan:

"Sejak Sabtu lalu air dah mulai perlahan dan menyebabkan gangguan kepada operasi kami pada setiap hari," katanya.

Sementara itu, pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, pihaknya terpaksa menggunakan pinggan dan gelas pakai buang susulan daripada gangguan bekalan air yang berlaku.

Hakimsa berkata, bekalan air di premisnya sudah terganggu sejak Jumaat lalu ekoran insiden paip pecah dan keadaan itu mula pulih pada jam 10 malam semalam.

"Namun, pagi tadi bekalan mula tiada selepas Air Selangor memaklumkan berlakunya pencemaran sungai.

"Bila bekalan air tiada, kami tidak dapat mencuci pinggan mangkuk dan disebabkan itu langkah alternatif seperti ini terpaksa diambil bagi memastikan operasi perniagaan berjalan seperti biasa," katanya

Katanya, beliau turut menyimpan bekalan untuk kegunaan pelanggan dan pekerja di dua cawangan restorannya itu.

"Saya terpaksa ambil bekalan di rumah anak saya di Seksyen U12, Shah Alam dan letakkan di premis kami untuk kemudahan pekerja dan pelanggan kami," katanya.