Tiga lagi sekolah ditutup di Perak

Gambar yang dikongsi di media sosial berkaitan penutupan SK Klebang Jaya selama tujuh hari bermula hari ini.
Gambar yang dikongsi di media sosial berkaitan penutupan SK Klebang Jaya selama tujuh hari bermula hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Tiga lagi sekolah di Perak ditutup selama tujuh hari bermula hari ini berikutan terdapat jangkitan positif koronavirus (Covid-19) membabitkan murid sekolah itu.

Sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki dan Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Jaya masing-masing di Chemor, Ipoh manakala SK Tanah Kebun di Parit Buntar.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, penutupan berkenaan dimaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menerusi satu surat bermula 19 sehingga 25 Oktober ini.

Menurutnya, daripada maklumat diterima, dua murid Tahun Satu dan Dua di SK Tanah Kebun telah disahkan positif Covid-19.

"Kita juga terima pengesahan bahawa seorang murid berusia 10 tahun dari SK Klebang Jaya dan seorang pelajar Tingkatan Tiga dari SMK Aminuddin Baki telah disahkan positif wabak berkenaan.

"Atas faktor keselamatan, JPN telah menutup operasi sekolah-sekolah ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disenfeksi dijalankan selari dengan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan bina laluan konkrit ke puncak Gunung Semanggol di sini hari ini.

Penutupan itu menjadikan keseluruhan 10 sekolah dilaporkan ditutup sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, September lalu.

Artikel Berkaitan:

Tujuh lagi sekolah yang ditutup sebelum ini ialah SMK King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, SK Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang dalam daerah Larut Matang Selama.

Sebuah lagi SK Lekir di Batu 8 dekat Sitiawan.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, tindakan sama juga diambil terhadap Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Raudhatul Ulum, Klebang Restu di Chemor dimana sesi persekolahan ditutup buat sementara waktu sehingga 25 Oktober.

Katanya, pihak sekolah telah diberi kuasa untuk mengambil tindakan yang wajar termasuk menutup operasi sekolah sekiranya terdapat gejala-gejala yang boleh merebak dan mendatangkan bahaya.

"Sebab itu walaupun hanya seorang pelajar sahaja disahkan dijangkiti, kita ambil langkah secara keseluruhan dan maklumkan kepada JPN untuk tutup sekolah agar rantaian wabak itu dapat diputuskan.

"Jadi ibu bapa tidak perlu khuatir dengan situasi penutupan sekolah di negeri ini, apa yang kita harapkan semuanya mesti patuh pada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.