Persefahaman PN di Perak makin pudar

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menyifatkan persefahaman serta perjanjian yang dipersetujui ketika pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini sudah tidak dihormati.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia dapat dilihat apabila satu demi satu tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membelakangi semangat muafakat yang dibina mereka bersama Pas.

Menurutnya, ketika persetujuan membentuk kerajaan, ketiga-tiga parti telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat-menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain.

"Sewajarnya pelantikan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

"Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ini tidak lagi dihormati dan suasana muafakat yang dibina itu tidak lagi dihargai dengan baik.

"Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari kerana sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Exco Kanan Perak itu berkata, sebelum ini UMNO mengelak daripada mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri yang dibentuk dapat fokus sepenuhnya dalam mendepani impak pandemik koronavirus (Covid-19).

Namun katanya, tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan-tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui yang telah ditandatangani bersama.

Artikel Berkaitan:

"Saya mendengar penjelasan Menteri Besar kepada soalan pemberita baru-baru ini berkaitan dengan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau.

"Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila beliau melantik seorang ADUN daripada UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran daripada parti UMNO," katanya.

Beliau berkata, sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri mereka selama ini tidak boleh dianggap sebagai kelemahan seolah-olah UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak tamak kuasa seperti yang diperkatakan meskipun hakikatnya parti itu mempunyai 25 ADUN iaitu jumlah paling besar di dalam DUN.

"Atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada Bersatu.

"Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik Covid-19 ini, jadi hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang," katanya.