[DIKEMASKINI] 1.2 juta akaun pengguna di KL, Selangor terjejas bekalan air

Sebanyak 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Sebanyak 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, ia berikutan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran sungai itu.

Menurutnya, gangguan bekalan air itu membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

"Sebanyak 1,196,457 akaun pengguna terjejas akibat pencemaran ini.

"Tindakan segera telah dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari. Tindakan ini bagi proses pencairan dan 'flushing' bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

Katanya, sehingga jam 6.30 pagi tadi, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Selangor pada tahap 1 ton.

"Air Selangor ingin memaklumkan pemulihan setakat jam 2 pagi ini untuk insiden henti tugas separa LRA SSP1 berikutan paip air terawat pecah telah mencapai kadar 80 peratus namun berikutan insiden pencemaran bau ini melibatkan loji yang sama, maka pemulihan kawasan ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang diumumkan semalam.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis," katanya.

Beliau berkata, pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

"Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes koronavirus (Covid-19) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

"Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.