Tiga cara pendekatan Islam hadapi wabak

Kerjasama antara semua pihak diperlukan dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19.
Kerjasama antara semua pihak diperlukan dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Islam mempunyai pendekatan sendiri dalam menghadapi wabak seperti Covid-19 melalui proses mencegah dan merawat yang dilakukan secara kerjasama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia merupakan perkara kebajikan yang diberikan pahala seperti mana dalam firman ALLAH SWT dalam Surah al-Ma’idah.

Menurutnya, terdapat tiga cara pencegahan dan rawatan iaitu pertama, membatasi pergerakan supaya menghalang daripada merebak.

“Mereka yang berada dalam kawasan wabak ditahan daripada keluar dan mereka yang berada di luar kawasan tidak dibenarkan masuk.

“Cara kedua ialah beriman kepada qada dan qadar dengan penuh kesabaran setelah berikhtiar.

“ALLAH SWT menceritakan perihal kaum Yahudi yang tidak bersabar menghadapi ujian wabak, lalu melanggar petunjuk ALLAH SWT yang melarang mereka daripada keluar (Surah al-Baqarah: 243),” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Cara ketiga menurut beliau, adalah rawatan dengan pelbagai cara dan pendekatan.

“Islam telah mencipta tamadun dunia, termasuk ilmu perubatan dan masih disimpan oleh seluruh dunia yang menyambung hasil kajian tersurat serta tersirat.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi Barat yang telah memisahkan sains daripada hidayah agama,” katanya.

Beliau berkata, bagi membetulkan keadaan ini, pertubuhan Islam seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan organisasi lain perlu berperanan dengan bekerjasama dan tolong-menolong dalam perkara kebajikan.

“Ada negara yang terlalu kaya sehingga tidak tahu mengurus kekayaannya. Bahkan ada negara yang mempunyai kepakaran dalam kalangan rakyatnya tetapi mereka berada di negara lain bukan di negara sendiri.

“Maka hentikan krisis politik dan polemik yang merugikan umat. Turun ke padang dunia, buktikan bahawa Islam boleh menjadi petunjuk dan penyelamat kepada semua manusia,” katanya.