Dah boleh turun padang

Skuad Kuala Lumpur akan kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi aksi terakhir menentang Kuching FA di Cheras 31 Oktober ini.
Skuad Kuala Lumpur akan kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi aksi terakhir menentang Kuching FA di Cheras 31 Oktober ini.
A
A
A

PASUKAN Liga Malaysia (Liga-M) yang berada dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh kembali berlatih untuk menghadapi aksi terakhir CIMB Liga Super dan Liga Premier selain membuat persediaan menjelang kempen Piala Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah memberikan surat kebenaran menjalani latihan kepada pasukan terlibat semalam.

“Bagaimanapun, kesemua pasukan yang berada dalam kawasan PKPB seperti Selangor, PJ City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur kena ikutlah SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan.

“Sekali lagi ingin saya ingatkan, mereka hanya boleh berlatih 10 orang dalam satu-satu masa dan tanpa sentuhan selain SOP lain yang perlu dipatuhi seperti pada latihan Fasa 1 sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan latihan diadakan dan ia membolehkan pasukan-pasukan yang berada dalam kawasan PKPB melakukan persiapan mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB berkuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober ini ekoran peningkatan kes pandemik Covid-19.

Arahan yang dilaksanakan kerajaan itu menyebabkan keempat-empat pasukan terbabit berada dalam keadaaan ‘tersepit’ tatkala mereka dalam persiapan menghadapi baki aksi liga selain Piala Malaysia.

Begitupun, kesemua pasukan itu mampu menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB kembali beroperasi mulai hari ini, namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ab Ghani menjelaskan, MFL belum membuat sebarang perancangan sekiranya tempoh PKPB yang sepatutnya tamat pada 27 Oktober ini disambung lagi.

“Saya berharap tempoh PKPB tidak disambung selepas 27 Okotber nanti dan semua pasukan bersiap sedia untuk menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijadual berlangsung awal bulan depan.

“Jika PKPB disambung, kita akan buat perancangan lain dengan melihatkan kepada keadaan pada masa itu. Tetapi buat masa ini kita harapkan tiada lagi PKPB,” ujarnnya.