X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: KKM mahu pelaksanaan PKPB diperketat lagi

Dr Noor Hisham pada sidang media khas mengenai situasi terkini unjuran nilai (Rt) atau R-naught (R0) bagi penularan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mahu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diperketat bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu akan diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“Kita perketatkan dan benarkan sektor ekonomi sahaja. Segala bentuk perhimpunan melibatkan jumlah peserta yang besar perlu dikurangkan supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPB menyebabkan institusi pendidikan ditutup selain majikan diminta aktifkan pelan bekerja dari rumah dan penggiliran bagi pekerja mereka berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu selama 14 hari, sementara di Sabah bermula dari 12 hingga 26 Oktober ini.

Semalam, Mesyuarat Khas MKN memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal serta dewan badminton komersial dibenar beroperasi semula mulai esok.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi penjara akan dikaji semula bagi memastikan jangkitan di situ tersebut dapat dikurangkan.

Selain itu, menurutnya, kajian dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memerlukan masa satu hingga dua minggu lagi sebelum dapat mengenal pasti sama ada D614G turut dikesan di Selangor atau tidak.

"Virus mutasi itu menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko penularan lebih meluas.

"Orang ramai dinasihatkan patuh SOP sepanjang masa termasuk pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelakkan perhimpunan.

IMR sebelum ini mengesan virus mutasi tersebut dalam Kluster Sivagangga di Kedah, seterusnya di Sabah, Kluster Sungai (Kedah) dan Kluster Ulu Tiram di Johor, katanya.

Katanya, ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, KKM berjaya mengawal penularan pandemik dalam tempoh empat minggu kerana semua rakyat duduk di rumah.

"Walaupun KKM terlewat 10 hari melaksanakan intervensi bagi Kluster Sri Petaling, penularan daripada kluster itu dapat dikawal dalam tempoh 100 hari," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!