Datuk menyamar pegawai kanan polis Bukit Aman ditahan

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki bergelar Datuk ditahan kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis di Bukit Aman bagi menyelesaikan pinjaman seorang peniaga daripada ah long.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 11.15 pagi kelmarin.

"Kita turut menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun disyaki ah long di Cheras pada 12 Oktober lalu dan siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai terlibat dengan aktiviti kongsi gelap," katanya.

"Tangkapan kedua-dua suspek itu hasil laporan daripada mangsa berusia 40 tahun pada 4 Oktober lalu yang mendakwa menerima panggilan telefon daripada syarikat pengutip hutang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa membuat pinjaman dengan ah long sebanyak RM200,000 pada 2017 sebagai pusingan modal perniagaannya.

"Sejak daripada tempoh itu mangsa membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,500 sebulan.

"Bagaimanapun, mangsa tidak mampu membuat bayaran pada Mac lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan akibatnya mangsa sering diganggu dan diugut ah long," katanya.

Katanya, mangsa kemudian berkenalan serta menceritakan masalah kewangan yang dihadapinya kepada suspek bergelar datuk terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan cara menghubungi seorang lelaki dipercayai ah long," katanya.

"Ah long itu kemudian menghubungi mangsa serta memaklumkan kepadanya segala urusan pembayaran hutang mesti melalui individu yang menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman itu," katanya.

Nik Ezanee berkata, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM60,000 kepada suspek dengan harapan ia dapat menyelesaikan hutangnya.

"Kedua-dua mereka ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Wang Berlesen 1952, Seksyen 420 dan 170 Kanun Keseksaan.

"Ah long itu kini direman tujuh hari, manakala lelaki menyamar polis yang mempunyai syarikat kawalan keselamatan dan empat rekod jenayah itu direman tiga hari," katanya.