X

Kindly register in order to view this article
!

Tak sempat jenguk cucu, merasa hasil tanaman sendiri

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di Kampung Klah Baru. Foto: ihsan bomba. Gambar kecil: Mohamed Tahir, Nor Aini dan Muhammad Ridhwan
A
A

TANJUNG MALIM - "Aku teringat cucu di Kuala Lumpur, tak sempat menjenguk mereka," demikian kata-kata terakhir Mohamed Tahir Junus, 64, ketika berkunjung ke rumah anaknya, Azrul Azizul Mukminin, 30, di Air Kuning, Tapah.

Azrul Azizul berkata, ayah dan ibunya, Nor Aini Mohd Sam, 56, sering mengunjungi rumah lima anaknya setiap minggu untuk menghabiskan masa bersama sembilan cucu mereka.

Menurutnya, ketika bermalam di rumahnya, dia perasan kelainan ibu bapanya yang seolah-olah merindui cucu-cucunya.

"Rutin mingguan mereka bergilir-gilir akan pergi rumah kami lima beradik. Tetapi dia terkilan tidak dapat jenguk cucu-cucunya di Kuala Lumpur kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Mak dan ayah pernah berkata yang mereka tidak sempat merasa hasil tanaman yang mereka usahakan di Kampung Gajah serta tidak dapat mengikuti percutian ke Pulang Langkawi bulan depan. Dalam hati ada terdetik tapi saya tidak fikirkan apa-apa sehinggalah berlaku kejadian hari ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini hari ini.

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, Mohamed Tahir dan Nor Aini yang menaiki kereta Proton Saga maut apabila terbabit nahas dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 88 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Kampung Klah Baru di sini hari ini.

Nahas itu turut mengorbankan pemandu Perodua Myvi, Muhammad Ridhwan Ismail, 24, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Slim River.

Ahli keluarga membantu mengangkat jenazah Muhammad Ridhwan untuk dibawa ke Kampung Halaman di Teluk Intan.
Ahli keluarga membantu mengangkat jenazah Muhammad Ridhwan untuk dibawa ke Kampung Halaman di Teluk Intan.

Azrul Azizul berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima gambar nahas melibatkan Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu bapanya.

"Sebelum kejadian, kami sama-sama sarapan nasi lemak di Air Kuning, Tapah sebelum mereka mahu pulang ke kampung. Memang kami tidak nampak apa-apa perubahan dan saling bersalam-salaman.

"Tiba sahaja di tempat kejadian, jenazah sudah dibawa keluar dan saya sempat menatap wajah mereka untuk pengecaman," katanya.

Katanya, kedua-dua Allahyarham disifatkan sebagai penyayang dan sering menghabiskan masa bersama.

"Jenazah mak dan ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cabang Lima, Jalan Ketoyong," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati kejadian melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Saga.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari Subang Jaya, Selangor menghala ke Teluk Intan.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga," katanya.

Menurutnya, Muhammad Ridhwan mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Slim River sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!