X

Kindly register in order to view this article
!

Perkakas rumah rosak terendam air

Lebih 30 kediaman di Kampung Tanjung Seri, mukim Derga, Alor Setar dinaiki air sejak Khamis lepas.
A
A

ALOR SETAR - Lebih 30 kediaman di Kampung Tanjung Seri, mukim Derga, di sini terjejas apabila rumah mereka dinaiki air akibat limpahan sungai sejak empat hari lepas.

Penduduk mendakwa mereka tidak sempat mengemas perabot dan dokumen penting kerana air naik terlalu cepat.

Penduduk, Zulkifli Mat Zain, 41, berkata, beberapa barangan berharga dan perabot di rumahnya mengalami kerosakan akibat ditenggelami air yang naik secara tiba-tiba Khamis lepas.

"Kami sekeluarga hanya mampu menyelamatkan beberapa barangan sahaja kerana air naik dengan cepat. Ada perkakas yang terpaksa dibuang termasuk tilam kerana terendam banjir dalam tempoh lama," katanya menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew di Kampung Tanjung Seri, di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Nur Aliya Hamid, 29, berkata, dia bukan hanya mengalami kerugian malah bimbang keselamatan keluarga apabila air naik kira-kira 0.5 meter.

"Beberapa barangan rumah seperti meja belajar anak saya rosak. Bagaimanapun saya bersyukur kerana sempat meletakkan peti ais dan mesin basuh di atas meja makan.

"Lebih membimbangkan, kami nampak ular sawa batik dan katam tebu beberapa kali di luar dan dalam rumah pada Jumaat lepas," katanya.

Kok Yew (kiri) melihat keadaan rumah Zulkifli di Kampung Tanjung Seri, mukim Derga, Alor Setar dinaiki air sejak Khamis lepas.
Kok Yew (kiri) melihat keadaan rumah Zulkifli di Kampung Tanjung Seri, mukim Derga, Alor Setar dinaiki air sejak Khamis lepas.

Nur Aliya berkata, kejadian berlaku apabila air sungai berdekatan kediaman penduduk melimpah selepas hujan lebat dan turut mengakibatkan beberapa petak sawah tenggelam.

Sementara itu, Kok Yew berkata, lebih 10 kampung dan taman perumahan di mukim Derga yang terletak berhampiran sungai dinaiki air akibat hujan dan air pasang sejak beberapa hari lepas.

Katanya, antara kawasan terjejas ialah Kampung Tanjung Seri, Kampung Gerigis, Taman Derga Jaya, Lorong Bendahara, Kampung Alor Semela dan Seberang Nyonya sejak empat hari lepas.

"Masalah banjir di Kampung Tanjung Seri disebabkan limpahan sungai dan hujan namun keadaan semakin buruk apabila sistem perparitan berdekatan Jalan Lencongan Timur, di sini tersumbat," katanya.

Katanya, ada beberapa kawasan di mukim Derga dinaiki air antara tiga hingga empat kali dalam tempoh setahun.

Kok Yew berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangkan masalah limpahan air dan tidak boleh menunggu sehingga projek tebatan banjir siap kerana banyak kawasan terjejas.

"Isu perparitan di taman perumahan membabitkan mendapan tanah, ranting pokok dan sebagainya perlu diambil serius dan diuruskan sebaiknya bagi membolehkan masalah diatasi dari awal," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!