Pasar Harian Selayang selamat dikunjungi

Pasar Harian Selayang perketat SOP demi keselamatan peniaga dan pengunjung.
Pasar Harian Selayang perketat SOP demi keselamatan peniaga dan pengunjung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Kuala Lumpur menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi meningkatkan kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Harian Selayang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua kawasan Selayang, Mohd Hafiz Mohd Sidek berkata, kaunter pendaftaran dan pemeriksaan suhu mula beroperasi semalam dengan menempatkan antara empat hingga enam anggota Rela bagi menguruskan pendaftaran keluar masuk pengunjung.

Menurutnya, berlaku kelewatan pelaksanaan kerana mengambil masa untuk berbincang bersama persatuan penjaja lain selain melibatkan kos.

"Sebelum ini SOP dilakukan di setiap kedai namun atas kesedaran mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang menunjukkan angka membimbangkan kebelakangan ini, kami berpendapat perlu kawalan yang lebih teratur untuk keselamatan peniaga dan pengunjung.

"Pengunjung juga memahami normal baharu sejak penularan Covid-19 ini. Mereka tiada masalah memberikan kerjasama untuk melakukan pendaftaran di kaunter yang terletak di laluan masuk," katanya ketika tinjauan Sinar Harian di Pasar Harian Selayang hari ini.

Mohd Hafiz Mohd Sidek
Mohd Hafiz Mohd Sidek

Katanya, pihaknya mengehadkan jumlah pengunjung sehingga 200 orang dalam satu masa bagi membolehkan amalan penjarakkan fizikal dipatuhi.

"Kami juga meletakkan pelekat hijau kepada pengunjung bagi memastikan hanya mereka yang telah disaring dibenarkan berada dalam kawasan pasar.

Artikel Berkaitan:

"Pasar Harian Selayang selamat dikunjungi dan pihak persatuan patuh kepada garis panduan ditetapkan oleh kerajaan. Saya harap peniaga serta pengunjung memainkan peranan untuk bersama-sama mencegah jangkitan Covid-19 ini," katanya.

Khamis lalu, tinjauan Sinar Harian mendapati pengunjung Pasar Harian Selayang terus memasuki kawasan pasar tanpa melakukan pemeriksaan dan pendaftaran susulan ketiadaan kaunter disediakan.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tahap keselamatan di kawasan itu dan selain kegusaran pengunjung jika berlaku penularan pandemik Covid-19 di tempat awam itu.

Sepanjang tempoh PKPB yang dilaksanakan hingga 27 Oktober ini, pasar harian dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 2 petang sementara pasar borong pula dibenarkan beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang.

Orang ramai beratur untuk membeli keperluan bahan mentah di Pasar Harian Selayang hari ini.
Orang ramai beratur untuk membeli keperluan bahan mentah di Pasar Harian Selayang hari ini.