X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia dan Arab Saudi bincang kuota haji tahun 2021

Hishammuddin Hussein - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa strategik peringkat tertinggi yang memberi tumpuan terhadap kerjasama era pasca pandemik koronavirus (Covid-19) termasuk mengenai kuota haji tahun 2021.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Menteri Luar Negeri kerajaan Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud dan beliau sendiri.

Menurutnya, Arab Saudi dijangka melonggarkan penutupan sempadan bermula 1 Januari 2021 dan membenarkan umat Islam dari negara lain menunaikan haji serta umrah dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

“Biarpun belum ada keputusan muktamad berhubung perihal haji dan umrah serta kaedah pelaksanaannya oleh kerajaan Arab Saudi, namun Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pendirian sama bahawa penting perbincangan serta perancangan dibuat awal menerusi jawatankuasa tersebut.

“Keputusan itu dibuat agar kedua-dua negara lebih bersedia apabila ia hendak dilaksanakan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata lagi, beberapa lagi perkara yang akan dibincangkan dalam perbincangan awal berkaitan kuota haji tahun hadapan adalah jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan mengerjakan umrah dan kaedah pelaksanaan haji serta umrah, jika ia boleh dilaksanakan sebelum vaksin Covid-19 ditemui.

Selain itu menurutnya, melalui jawatankuasa tersebut, kedua-dua negara akan bekerjasama rapat dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara masing-masing berikutan kemerosotan ekonomi global.

“Menstabilkan kembali rantaian bekalan dan makanan yang terganggu antara kedua-dua negara dan membantu rakyat yang terkesan akibat krisis Covid-19.

“Malaysia akan memberikan sepenuh komitmen demi memastikan setiap perancangan menerusi jawatankuasa ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Perkembangan lanjut akan saya dan Wisma Putra maklumkan dari masa ke masa,” ujarnya.

Setakat ini, Arab Saudi merupakan negara penyumbang bantuan Covid-19 terbesar kepada Malaysia dengan sumbangan lebih tujuh juta unit peralatan perubatan yang disalurkan secara terus melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!