Empat perumahan kos rendah di Bandar Utama disanitasi

Jamaliah bersama pasukannya menjalankan sanitasi di Pangsapuri Kayu Ara hari ini.
Jamaliah bersama pasukannya menjalankan sanitasi di Pangsapuri Kayu Ara hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menjalankan kerja-kerja sanitasi di empat kawasan perumahan sekitar Bandar Utama di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, aktiviti berkenaan memberi tumpuan kepada perumahan kos rendah.

"Seperti yang kita sedia maklum, baru-baru ini telah wujud beberapa kluster di Bandar Utama ini.

"Oleh kerana prihatin dan risau dengan keadaan yang berlaku terutamanya melibatkan beberapa kawasan yang berisiko mempunyai jangkitan Covid-19, jadi kita jalankan kerja-kerja sanitasi ini," katanya kepada Sinar Harian di Pangsapuri Kayu Ara di sini hari ini.

Aktiviti pembersihan memfokuskan kepada beberapa perumahan kos rendah sekitar Bandar Utama.
Aktiviti pembersihan memfokuskan kepada beberapa perumahan kos rendah sekitar Bandar Utama.

Beliau berkata, pihaknya juga membuka peluang kepada komuniti dalam Bandar Utama untuk membuat permohonan kepada pihaknya untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi khususnya kepada pihak berdepan masalah dari segi kos.

"Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi antaranya termasuk dari segi ketidakmampuan menjalankan sanitasi ini dan kawasan yang perlu disanitasi," katanya.

Terdahulu, Selangor merekodkan kes koronavirus (Covid-19) tertinggi di Lembah Klang semalam dengan mencatatkan 50 kes berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan menerusi laman Facebook semalam memaklumkan, lima daerah di negeri itu juga masih kekal berada dalam zon merah dengan penambahan satu daerah baharu iaitu Kuala Langat.