CAS tolak rayuan Karim terhadap IAAF

No Image Caption
A
A
A

MAHKAMAH Timbang Tara Sukan (CAS) telah menolak rayuan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.

Karim telah membuat rayuan terhadap keputusan Persatuan Olahraga Dunia (IAAF) untuk mengeluarkan beliau daripada Majlis badan induk dunia itu tahun lepas.

Pegawai Komunikasi CAS Katy Hogg ketika dihubungi berkata keputusan akhir itu dibuat pada 17 Disember tahun lalu.

“CAS telah mengeluarkan keputusan akhir pada 17 Disember 2018 yang mana rayuan Karim Ibrahim terhadap keputusan panel penilai IAAF bertarikh 15 Mei 2018, ditolak,” katanya.

IAAF pada Ogos tahun lepas, menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang, mengesahkan bahawa panel penilainya mendapati Karim tidak layak memegang jawatan dalam Majlis badan induk itu.

Tetapi, tiada butiran lanjut berikutan Karim telah membawa perkara itu kepada CAS.

Bagaimanapun, laporan media mengaitkan penyingkiran beliau dengan satu dokumentari yang disiarkan oleh media Jerman, ARD pada Mac 2016 yang mendakwa Karim melindungi amalan doping di Malaysia.

Pada 2012, Karim dikenakan tindakan penggantungan kerana didakwa membantu enam atlet negara yang enggan menjalani ujian doping oleh Institut Sukan Negara (ISN) pada 2011.

Artikel Berkaitan:

Karim bagaimanapun membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini dan berjaya membatalkan hukuman penggantungan itu, sebelum beliau dilantik Presiden KOM pada penghujung 2014.

Beliau dilantik anggota Majlis IAAF oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015. - Bernama