X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kes pertama libatkan pegawai penjara

Kes pertama melibatkan pegawai penjara dilaporkan di Penjara Seberang Perai semalam.
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang mencatatkan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) pertama melibatkan pegawai penjara di Penjara Seberang Perai di Jawi, Seberang Perai Selatan semalam.

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, satu daripada 26 kes aktif yang dilaporkan semalam melibatkan pegawai di penjara tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat punca pegawai penjara tersebut dijangkiti.

"Petugas KKM telah memeriksa semua kontak rapat pegawai tersebut dan kita masih menunggu keputusannya dan pemantauan rapi sedang dijalankan ke atas semua banduan dan petugas penjara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata, 25 kes aktif yang dilaporkan di penjara itu melibatkan banduan yang baru saja dijatuhi hukuman dan mereka kini ditempatkan di blok baharu bersama banduan yang disahkan positif Covid-19.

"Sehingga semalam, Kluster Penjara Jawi mencatatkan 54 kes," katanya.

Tambahnya, penjara berkenaan turut menerima pelbagai bantuan termasuk bekalan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan minuman daripada pelbagai pihak.

"Kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyalurkan bekalan makanan dan bahan mentah kepada pegawai penjara dan keluarga mereka.

"Keadaan di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai terkawal. Semua kelengkapan dan bekalan makanan mencukupi," katanya.

Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Jawi menjadikan kedua-duanya sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini yang mencatatkan jangkitan Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang susulan kematian seorang banduan berusia 85 tahun pada 5 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memberi jaminan bahawa keadaan Covid-19 di negeri ini masih terkawal kerana berlaku dalam kompaun penjara tanpa melibatkan orang ramai.

Beliau turut menegaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Perai tidak perlu dilaksanakan pada waktu ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!