Lelaki ditahan halang tugas polis

Zairulnizam (kiri) ketika turun padang memantau masyarakat di sekitar Bangsar supaya sentiasa mematuhi SOP PKPB.
Zairulnizam (kiri) ketika turun padang memantau masyarakat di sekitar Bangsar supaya sentiasa mematuhi SOP PKPB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menghalang anggota polis ketika pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditahan dalam operasi di Bangsar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, individu terbabit ditangkap pada jam 8 malam selain turut mengenakan kompaun terhadap lima lagi individu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita menahan lelaki berusia 25 tahun itu kerana dia mempersoalkan dan menghalang anggota polis yang menjalankan tugas pemantauan SOP PKPB," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini semalam.

Sementara itu, Zairulnizam berkata, kesemua tujuh balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan SOP PKPB secara serentak melibatkan 26 pasukan pemantau di daerah ini.

Berdasarkan pemantauan tersebut beliau berkata, pihaknya mendapati pematuhan orang ramai terhadap SOP PKPB mencapai 95 peratus.

Menurutnya, sejak PKPB dilaksanakan pada 14 Oktober lalu, sekatan jalan raya secara statik telah dibuat berhampiran Balai Polis Sentosa, yang bersempadan dengan Petaling Jaya.

"Kita juga mempunyai dua sekatan jalan mudah alih di daerah ini," katanya.

Zairulnizam berkata, sebanyak 134 kompaun dikeluarkan di daerah ini, termasuk 70 kompaun di Bangsar sejak 1 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap orang ramai menjaga kebersihan dan mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal. Matlamat utama kami adalah untuk memutuskan rangkaian jangkitan koronavirus (Covid-19)," katanya.