Bot rosak, empat pemancing selamat

Empat pemancing selamat selepas bot yang mereka naiki rosak sebelum ditunda ke Jeti Kampung Pendas, Iskandar Puteri, semalam.
Empat pemancing selamat selepas bot yang mereka naiki rosak sebelum ditunda ke Jeti Kampung Pendas, Iskandar Puteri, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Empat pemancing berhadapan situasi cemas selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Merambong dekat sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang.

Menurutnya, kesemuanya mangsa berusia dalam lingkungan 23 hingga 34 tahun keluar memancing dari Jeti Kampung Pendas, Johor Bahru pada jam 12 tengah hari semalam.

"Seorang mangsa, Anuar Yusof, 30, memaklumkan bot berkenaan mengalami kerosakan enjin pada kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Pulau Merambong.

"Enjin bot gagal dihidupkan ketika mereka ingin bergerak dan mangsa terus menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, 20 minit kemudian, anggota APMM menggerakkan bot Kilat 18 dan ketika tiba di lokasi kesemua mereka berada dalam keadaan selamat serta memakai jaket keselamatan.

"Bot mereka ditunda ke Jeti Kampung Pendas oleh sebuah lagi bot rakan mangsa yang turut dihubungi mangsa sebelum itu. Bot Kilat 18 mengiringi mereka sehingga tiba di jeti pada jam 7.06 petang semalam," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti dan memastikan keadaan bot atau kapal berada dalam keadaan yang baik.

Artikel Berkaitan:

Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil pihak maritim.