X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah penduduk terjejas air pasang besar meningkat

Kawasan penempatan penduduk di Kuala Selangor dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang pagi tadi.
A
A

KUALA SELANGOR - Jumlah rumah terjejas di Kampung Sungai Janggut di sini berikutan fenomena air pasang besar hari ini meningkat kepada 12 berbanding hanya dua buah semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, antara yang terlibat ialah lima di Kampung Sungai Janggut, empat di Jalan Yunus, Sungai Sembilang dan tiga di Bagan Sungai Janggut.

Menurutnya, kejadian air melimpah pada jam 6.50 pagi itu disebabkan hakisan pada ban dan benteng.

"Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menempatkan mangsa yang terkesan banjir," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, kawasan penempatan dinaiki air pasang kini mulai surut.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan ban dan telah mengaktifkan satu unit pam untuk mengepam keluar air laut yang melimpah dari rumah penduduk," katanya.

Muhammad Izzat berkata, beberapa kawasan di Kuala Selangor berada dalam keadaan terkawal dan hanya berlaku limpahan kecil.

"Antara kawasan itu ialah di Bagan Pasir Tanjong Karang, jalan masuk Apartment Budiman, Pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam dan Ikan bakar Pantai Jeram.

"Turut terlibat ialah Bagan Pasir Penambang, Jalan persekutuan (berhampiran Pasar Raya Mustafa), Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran," katanya.

Tambahnya, Jabatan kerja Raya (JKR) dengan kerjasama JPS akan melaksanakan penambahbaikan dan kerja-kerja naik taraf jalan bagi memastikan kelancaran aliran air di jalan raya.

Dalam pada itu katanya, beberapa kawasan pesisir pantai di Selangor iaitu di Kuala Langat, Klang, Sepang dan Sabak Bernam hanya berlaku sedikit limpahan kecil akibat fenomena itu yang dijangka berakhir esok.

"Keadaan selamat dan terkawal selain tiada kawasan penempatan terjejas.

"Kita dapati kawasan dilimpahi air pasang mulai beransur ansur surut serta ban di pesisir pantai juga kukuh dan dalam keadaan baik," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!