Pengayuh beca di Kelantan tidak akan pupus

Muhamed Farid(dua dari kanan) berbual dengan pengayuh beca di kawasan Pasar Siti Khadijah hari ini.
Muhamed Farid(dua dari kanan) berbual dengan pengayuh beca di kawasan Pasar Siti Khadijah hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Bidang pekerjaan sebagai pengayuh beca di Kelantan tidak akan pupus memandangkan ia kini sudah menjadi salah satu produk pelancongan di negeri ini.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Bharu, Datuk Muhamed Farid Muhamed Zawawi berkata, namun ada penambahbaikan perlu dilakukan untuk memastikan bidang pekerjaan ini terus relevan.

"Antara penambahbaikan yang perlu dibuat ialah penggunaan muzik yang boleh menceriakan lagi beca tersebut. Kita boleh tengok sebagaimana penarik beca di Melaka buat.

"Kelantan kaya dengan pelbagai budaya dan kita boleh guna muzik-muzik yang ada seperti dikir barat, wayang kulit dan sebagainya untuk menyerikan lagi suasana kita di atas beca sepanjang perjalanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa dua jam menyantuni lebih 15 pengayuh beca di kawasan Pasar Siti Khadijah di sini.

Mengulas lanjut, katanya, rata-rata pengayuh beca di negeri ini terdiri daripada mereka yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, perkara tersebut membuktikan betapa pekerjaan itu sebenarnya memberi rezeki tersendiri dan ada tarikan tertentu terutamanya kepada pelancong luar negara.

"Cuma sekarang ini kita sama-sama fikirkan bagaimana untuk kita tambah lagi pendapatan mereka selain daripada bantuan-bantuan yang diterima daripada pelbagai agensi.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga fikirkan bagaimana cara untuk kita jadikan pekerjaan ini supaya dimonopoli oleh golongan muda selepas ini," katanya.