Covid-19: Tiada kes baharu libatkan tahanan lokap transit

Sahabudin Abd Manan
Sahabudin Abd Manan
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan tiada lagi kes positif koronavirus (Covid-19) melibatkan tahanan lokap transit di Balai Polis Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang kes baharu melibatkan tahanan lokap berkenaan selepas seorang tahanan disahkan positif wabak itu kelmarin.

Menurutnya, polis juga tidak menerima sebarang laporan kes baharu di lokap transit dan lokap polis di setiap daerah di negeri ini.

"Tiada kes baharu (melibatkan tahanan lokap). Selain itu, tiada laporan melibatkan kes baharu di lokap-lokap lain setakat ini.

"Kita sudah jalankan ujian saringan terhadap kontak rapat kepada tahanan yang positif itu, namun keputusan belum diperoleh. Kita masih menunggu keputusan (ujian saringan)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Menurut Sahabudin, semua lokap polis akan disanitasi dari masa ke masa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kelmarin, tahanan lelaki itu disahkan positif Covid-19 ketika ditempatkan di lokap transit di Balai Polis Nibong Tebal, SPS.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 13 Oktober lalu dan menjalani ujian saringan sehari kemudian.

Artikel Berkaitan:

Keputusan ujian saringannya diperoleh pagi kelmarin yang menunjukkan positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahanan positif Covid-19, kes pertama lokap di Pulau Pinang

Sehingga semalam, Pulau Pinang mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Jawi, menjadikan kedua-duanya adalah penjara ketiga dan keempat di negara ini yang dijangkiti Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatat 160 kes aktif baharu semalam menjadikan jumlah kes Covid-19 positif menjadi 377 dengan satu kematian.

Penjara tersebut kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes dalam kalangan banduan di penjara itu.

Sementara itu, Kluster Penjara Jawi mencatat 26 kes aktif baharu semalam menjadikan jumlah kes positif adalah 54

Sehingga hari ini, Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 439 kes aktif dengan tiga kematian.