Yayasan Palan tawar biasiswa RM50,000 untuk pelajar perubatan

Biasiswa Yayasan Palan akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat bagi program MBBS di AMU, Johor Bahru.
Biasiswa Yayasan Palan akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat bagi program MBBS di AMU, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Palan menawarkan biasiswa berjumlah RM50,000 bagi pelajar cemerlang yang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan namun memerlukan bantuan dari segi kewangan.

Pengasasnya, Tan Sri Dr R Palan berkata, biasiswa itu akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat bagi program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Asia Metropolitan University (AMU), Johor Bahru.

Menurutnya, AMU merupakan universiti perubatan dan menjadi pilihan utama kerana menawarkan program yang mendapat akreditasi serta pengiktirafan oleh beberapa badan profesional.

“Akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) memberikan kelangsungan buat penempatan doktor muda. Di tahun akhir pembelajaran, pelajar akan menjalankan pusingan klinikal di negeri Johor.

“Dengan pencapaian tiga kohort graduan yang pertama, AMU kekal dengan kadar kelulusan latihan 100 peratus dalam penempatan pusingan hospital mereka yang menjadi bukti kepada pendidikan bertaraf dunia di AMU,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai Yayasan Palan yang diilhamkan olehnya, Palan berkata, yayasan itu merupakan sebuah organisasi kebajikan dan amal yang memfokuskan kepada bidang pendidikan.

Beliau berkata, Yayasan Palan ditubuhkan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan bagi individu-individu yang kurang berkemampuan.

Untuk maklumat lanjut mengenai biasiswa dan proses permohonan sila layari www.amu.edu.my/palanfoundation.

Artikel Berkaitan: