X

Kindly register in order to view this article
!

Politik kepartian panaskan Dewan Rakyat

Azhar Azizan Harun
A
A

PERSIDANGAN secara maya mula diperkenalkan di Parlimen beberapa negara seperti United Kingdom dan Australia susulan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Di Malaysia, terdapat cadangan supaya pembudayaan kebiasaan baharu itu dilaksanakan menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 27 hari bermula 2 November hingga 15 Disember nanti.

Namun begitu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berpendapat cadangan tersebut belum sesuai dilaksanakan atas faktor praktikaliti selain keperluan meminda peraturan sedia ada.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat dalam suasana kontroversi pada 13 Julai lalu turut menjelaskan beberapa isu daripada faktor-faktor yang menyebabkan suatu usul ditolak, kualiti perbahasan ahli Parlimen sehinggalah persepsi wakil rakyat kuat bertengkar di dalam Dewan.

Ikuti temu bual Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Nurul Huda Husain bersama Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun di pejabatnya di Bangunan Parlimen baru-baru ini.

SINAR AHAD: Pelantikan Datuk sebagai Speaker Dewan Rakyat setelah 22 bulan memegang jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpalit kontroversi dan menjadi buah mulut orang seolah-olah Malaysia tidak ada calon lain untuk menjadi Speaker. Apakah perasaan Datuk ketika itu?

AZHAR: Ketika dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu, saya terperanjat juga dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat. Saya ingatkan saya telah membuktikan kebebasan saya semasa menjadi Pengerusi SPR.

Saya mempunyai sahabat di kedua-dua belah pihak di sebelah sini dan di sebelah sana. Jadi saya fikir saya boleh menjadi jambatan antara kedua-dua pihak itu. Tetapi malangnya di dalam Dewan Rakyat, itu merupakan satu idealisme yang tidak wujud dan layanan yang diberikan agak mengejutkan saya.

Azhar berhasrat untuk memperkukuhkan bahagian penyelidikan.
Azhar berhasrat untuk memperkukuhkan bahagian penyelidikan.

Sama ada sudah tidak ada orang lain atau tidak, saya tidak tahu tetapi sayalah yang dicadangkan oleh pihak majoriti ketika itu. Bagi saya ia satu penghormatan kerana saya diberikan peluang berkhidmat kepada negara. Saya menerimanya dengan hati terbuka sama seperti semasa saya dilantik menjadi Pengerusi SPR.

Bagaimanakah pandangan Datuk terhadap ahli Parlimen yang suka bertengkar atau membuat provokasi di dalam Dewan yang disiarkan secara live di televisyen dan media sosial?

Sebenarnya kalau lihat prosiding Dewan Rakyat itu secara keseluruhan dari jam 10 pagi hingga 5.30 petang, atau kadang-kadangnya sehingga 11 malam, ia berjalan secara aman dan perdebatan juga berjalan lancar. Cuma, boleh jadi kira-kira lima peratus daripada waktu tersebut terdapat pergeseran, pertengkaran serta perbalahan.

Malangnya, pergeseran itulah yang digembar-gemburkan oleh agensi berita dan diviralkan dalam media sosial. Pada amnya, 95 peratus masa perdebatan itu berjalan lancar. Jadi sudah tentulah bagi saya pergeseran dan perbalahan sebegitu tidak berapa elok, tidak berapa enak dipandang ramai.

Bagaimanapun, saya akan berusaha sedaya upaya untuk mententeramkan keadaan. Tetapi menjadi kebiasaan manusia, kadangkala dalam suasana panas berdebat, perkara tersebut tidak dapat dielakkan.

Di Dewan Rakyat sebelum ini Datuk pernah memberi pesanan kepada semua ahli Parlimen agar bersidang secara harmoni dan mempamerkan perbahasan berkualiti mengenai sesuatu usul. Apakah kriteria ‘perbahasan berkualiti’ yang Datuk maksudkan?

Bagi saya kriteria perbahasan berkualiti ialah perbahasan secara mendalam, matang dan tidak emosi mengenai sesuatu isu. Saya faham Dewan Rakyat dipenuhi oleh ahli-ahli Parlimen yang merupakan ahli-ahli politik, maka mereka tidak dapat lari daripada berpolitik di dalam Dewan Rakyat. Tapi kalau politik kepartian itu dapat dikurangkan semasa perbahasan, saya rasa lebih elok dan akan menjadikan perbahasan itu lebih bermakna.

Apakah kualiti perbahasan ini ada kaitan dengan dominasi golongan veteran politik memandangkan bilangan wakil rakyat muda berumur bawah 45 tahun hanya sekitar 24 orang atau 10 peratus daripada keseluruhan 222 wakil rakyat?

Saya tidak berani kata sama ada ahli Parlimen yang lebih muda lebih berkualiti perbahasan mereka dibandingkan dengan ahli-ahli Parlimen yang lebih tua. Saya rasa kita tidak boleh membuat andaian sedemikian. Kebanyakan ahli Parlimen muda sememangnya saya nampak penyelidikan mereka lebih baik sedikit dan cara mereka berdebat juga berlainan. Namun ada juga ahli Parlimen muda yang beremosi, yang berpolitik secara berpanjangan.

Dalam konteks pihak Parlimen, hasrat saya adalah untuk memperkukuhkan bahagian penyelidikan. Kita mempunyai 15 orang penyelidik, yang saya rasa agak membebankan bagi mereka untuk menampung keperluan penyelidikan kesemua 222 orang ahli Parlimen dan kementerian-kementerian.

Jadi hasrat saya adalah untuk memperkukuhkan dan kalau boleh menambah kakitangan bahagian penyelidikan. Dengan penyelidikan yang mendalam, sesuatu perbahasan akan bertambah kualitinya.

Azhar bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa
Azhar bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa

Baru-baru ini saya telah cadangkan kepada Majlis Peguam agar mereka mewujudkan sebuah jawatankuasa atau satu pasukan peguam yang secara sukarela membantu ahli-ahli Parlimen dari segi perundangan, perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan sebagainya. Alhamdulillah, Majlis Peguam nampaknya positif dengan cadangan saya.

Saya juga berharap ada masyarakat awam, NGO dan juga badan-badan profesional seperti doktor dan akauntan yang dapat menyediakan pasukan yang boleh memberi nasihat dan input kepada ahli Parlimen secara langsung mengenai apa-apa rang undang-undang yang berkaitan dengan profesion mereka. Saya rasa kalau kita ada sokongan sebegitu, maka penyelidikan dan perbahasan ahli-ahli Parlimen kita akan menjadi lebih mendalam dan bermakna.

Apakah pembaharuan yang ingin Datuk bawa sebagai Speaker Dewan Rakyat?

Salah satu pembaharuan itu adalah seperti yang saya nyatakan tadi iaitu mewujudkan sokongan kepada ahli-ahli Parlimen kita dalam membuat penyelidikan. Namun, pembaharuan paling utama ialah pembudayaan penggunaan jawatankuasa pilihan khas.

Saya rasa inisiatif itu yang dimulakan oleh mantan Speaker yang lalu adalah sangat baik. Membudayakan penggunaan jawatankuasa pilihan khas ini bermaksud lebih banyak aktiviti analisis, kritikan dan pemberian input kepada setiap kementerian.

Untuk mencapai matlamat ini, saya dengan kerjasama Ketua Pentadbir Parlimen dan Setiausaha Dewan Rakyat sedang mengusahakan penubuhan sebuah sekretariat khusus untuk jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas ini. Kita sedang meminta kebenaran untuk mendapatkan khidmat staf sokongan yang khusus dan berdedikasi.

Berhubung keselamatan ahli Parlimen daripada wabak Covid-19, apakah perkara baharu yang mungkin akan dilakukan menjelang sidang Dewan Rakyat pada 2 November nanti?

Kita akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara ketat.

Kita juga telah tetapkan bahawa ahli-ahli Parlimen dari Sabah dikehendaki datang ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada 17 Oktober kerana mereka perlu dikuarantin selama 14 hari.

Semua ahli Parlimen juga diminta menjalani ujian Covid-19 pada 28 atau 30 Oktober iaitu tiga atau empat hari sebelum persidangan pada 2 November.

Ada juga desas-desus yang meminta kita membuat persidangan secara maya, Zoom dan sebagainya. Sebenarnya persidangan secara maya ini tidak dapat dijalankan dalam waktu terdekat.

Di United Kingdom (UK) memang ada persidangan secara maya tetapi mereka sudah menyediakan satu SOP lebih awal dan proses persidangan secara maya itu juga telah ditetapkan oleh Parlimen UK termasuklah undian secara proksi. Saya rasa kita belum bersedia untuk membuat undian secara proksi.

Di Australia, walaupun terdapat persidangan secara maya tetapi ahli Parlimen tidak dibenarkan mengundi dan tidak dikira untuk kuorum. Jadi mereka cuma mengambil bahagian. Kalau mereka hendak bercakap kena beri notis 15 minit kepada Speaker. Jadi amalannya agak susah sebenarnya di Australia.

Di Malaysia pula, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen yang tidak hadir di Dewan Rakyat tidak boleh mengundi. Itu dalam Perlembagaan kita, iaitu Artikel 62(5).

Persidangan Dewan Rakyat ini juga adalah sebagaimana yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong tahun lalu iaitu persidangan adalah di bangunan Parlimen.

Jadi kalau kita hendak buat secara maya, maka terpaksalah kita pinda peraturan mesyuarat bagi membenarkan ahli-ahli Parlimen yang hadir secara maya untuk mengundi, untuk bercakap, untuk mencelah dan sebagainya. Proses itu akan mengambil masa yang agak lama.

Ahli Parlimen ponteng sidang Dewan Rakyat sering berlaku sebelum ini. Bagaimana Datuk melihat kehadiran ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan setakat ini?

Kalau kita lihat Dewan Rakyat kadang-kadang tidak berapa penuh dan kadang-kadang pula penuh. Pada persidangan yang lepas, Dewan Rakyat memang penuh dan hanya beberapa ketika kelihatan kosong. Tetapi kita sebenarnya tidak boleh membuat andaian bahawa kalau dewan itu kosong, maka ahli-ahli Parlimen tidak buat kerja.

Dewan Rakyat itu bagi saya hanya satu pentas. Kalau penyanyi itu kita nampak dia menyanyi di atas pentas. Tapi apa yang dia buat di belakang, kita tidak nampak, dia berlatih, pergi buat baju dan sebagainya. Serupa dengan ahli Parlimen, kita nampak sama ada mereka berada atau tidak di Dewan Rakyat. Tapi kerja yang mereka lakukan di belakang, kita tidak nampak.

Setelah berada di Parlimen ini saya sedar bahawa ahli-ahli Parlimen kita bekerja keras sebenarnya. Berjumpa orang dan bermacam-macam program mereka lakukan. Kalau terdapat rang undang-undang atau isu yang penting, Dewan Rakyat akan penuh. Jadi tidak adil untuk kita andaikan bahawa seseorang ahli Parlimen itu tidak buat kerja semata-mata disebabkan beliau tidak ada di situ.

Kita selalu mendengar Speaker Dewan Rakyat menolak atau enggan mendahulukan usul khususnya usul tergempar atas alasan ia bukan keperluan mendesak. Bagaimanakah Datuk mentafsir istilah ‘keperluan mendesak’ itu? Ada juga yang mengatakan ia ditolak atas sebab politik. Apakah komen Datuk?

Usul tergempar ini sebenarnya ada dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat iaitu ia perlulah isu yang spesifik, mengenai kepentingan awam, dan mestilah disegerakan. Jadi sebelum suatu usul atau usul tergempar itu dibenarkan, ia perlu mematuhi tiga syarat sedemikian.

Pada persidangan yang lepas, saya telah benarkan dua usul iaitu pertama, isu mengenai Palestin; kedua, usul untuk membincangkan kompaun RM1,000 kepada pesalah yang tidak patuh SOP Covid-19. Bagi saya, tidak ada masalah kalau usul itu memenuhi tiga syarat tersebut.

Tapi kalau tidak penuhi tiga syarat itu ataupun sekiranya terdapat niat yang lain, orang kata niat yang tersirat di sebalik usul itu, maka saya tidak akan benarkan.

Contohnya ada satu usul mengenai Yang Berhormat Menteri yang pergi ke Turki, saya tidak benarkan usul tersebut kerana beliau telah dikompaun dan perkara itu telah dibangkitkan banyak kali semasa perbahasan. Pada hari itu pula terdapat empat hingga enam lagi rang undang-undang yang hendak dibahaskan.

Apakah pesanan dan seruan Datuk kepada semua ahli Parlimen?

Saya harap semua ahli Parlimen dapat memanfaatkan peranan mereka di Dewan Rakyat demi kepentingan negara, bukan kepentingan peribadi atau kepentingan kawasan mereka sahaja kerana ahli Parlimen ini apabila dipilih, mereka adalah ahli Parlimen Malaysia.

Penglibatan mereka dalam rang undang-undang atau dalam polisi-polisi negara melangkaui kawasan Parlimen yang mereka wakili. Kalau itu boleh diberi penekanan oleh semua ahli Parlimen, maka saya rasa Dewan Rakyat akan menjadi lebih bermakna dalam menggubal undang-undang dan juga dasar-dasar negara.

DATUK AZHAR AZIZAN HARUN

JAWATAN SEKARANG: Speaker Dewan Rakyat

UMUR: 57 tahun (1962)

PENDIDIKAN: Universiti Malaya (LLB), King’s College London (LLM)

ASAL: Kampung Sanglang, Ayer Hitam, Kedah

PENGALAMAN:

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (21 September 2018 - 29 Jun 2020)

Peguam

ANEKDOT

Speaker pertama pergi ke coffee lounge

Sebagai Speaker Dewan Rakyat, saya melibat urus dengan semua pihak. Ramai ahli Parlimen yang saya jemput untuk duduk di sini (pejabat Speaker), dua tiga orang sekali untuk berbincang, bersantai mengenali sesama sendiri.

Saya juga Speaker yang pertama adakan mesyuarat parti whip yang dihadiri oleh 100 peratus parti whip daripada kedua-dua belah pihak. Dimaklumkan, saya juga Speaker pertama yang pergi ke coffee lounge.

Saya memang suka pergi ke tempat terdapat ahli Parlimen kerana daripada perbincangan di luar dewan ini saya rasa banyak perkara yang dapat saya fahami. Saya dapat rasai suasana di bawah dan saya mendapat input yang lebih bermakna.

Langsung tiada akaun media sosial peribadi

Saya sudah tidak ada langsung media sosial. Kosong. Sebenarnya saya okay dengan kritikan sebab kalau kita tidak mahu dikritik, kita tidak boleh menjawat jawatan tinggi. Bila kita ada jawatan, jawatan tinggi atau rendah, memang akan ada kritikan.

Jadi kritikan itu bagi saya adalah perkara biasa. Tapi yang saya ada masalah sedikit, pertama apabila kritikan itu di luar batasan. Kedua, kritikan itu pula tidak ada kena-mengena dengan isu yang saya bangkitkan. Ketiga, itu bukan kritikan pun tapi troll, apa pun yang kita buat dia akan troll. Jadi, sebenarnya saya kekurangan masa untuk melayan kritikan yang sebegitu

Kemudian perlu diingat juga ahli keluarga saya, anak-anak saya juga kadang-kadang membaca. Mereka tidak terlibat dengan kerja saya tapi bila membaca kritikan yang melampau, itu menyinggung perasaan mereka. Jadi lebih baik saya keluar terus secara total daripada media sosial. Sekarang saya tidak ada apa-apa akaun media sosial.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!