X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan paling mencabar

Kenderaan yang dipercayai membawa Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Pintu2, Istana Negara baru-baru ini. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A

“AL-SULTAN Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”, ini merupakan antara inti pati kenyataan rasmi Istana Negara selepas Yang di-Pertuan Agung perkenan pertemuan dengan Anwar pada 13 Oktober 2020.

Pada hari yang sama Seri Paduka telah bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagaimana pernah dilakukan pada 25 Februari 2020 ketika perubahan kepimpinan kerajaan waktu itu.

Hari berikutnya tersebar surat Ku Li kepada Speaker Dewan Rakyat memohon ‘usul undi tidak percaya’ yang dibawa sebelum ini oleh beberapa pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dibahaskan di Parlimen pada November ini.

Begitu juga kenyataan beberapa pemimpin UMNO bahawa ia bersedia untuk menarik sokongan ke atas Perikatan Nasional. Apakah isyarat sebenar mahu disalurkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai nakhoda Putrajaya?

Pertemuan Seri Paduka dengan pemimpin parti yang ditangguhkan membuka ruang ‘negosiasi’, ‘tawar-menawar’ dan ‘mediasi’. Apa sedang berlaku dan bagaimana senarionya?

Satu, mengapakah Perdana Menteri di Putrajaya mahu digantikan? Adakah ‘angka’ beliau terumbang-ambing walaupun agenda kenegaraan sepanjang tujuh bulan mentadbir negara diutamakan.

Dua, Le Meredien (hotel sidang akhbar Anwar) dan Langgak Duta (kediaman Ku Li) signifikan kerana menyaksikan operator politik bergerak dan melakukan pelbagai perbincangan belakang tabir. Kedua-duanya merupakan calon bakal Perdana Menteri kerana Ku Li pernah menentang Dr Mahathir untuk merebut jawatan Presiden UMNO 1987 dan Anwar dipecat pada tahun 1998 ketika menjadi Timbalan Presiden UMNO.

Tiga, sejauh manakah agenda Belanjawan 2021 menjadi teras dalam Sidang Parlimen November 2020 atau memberi keutamaan ke atas kritikan kepimpinan Muhyiddin?

Empat, apakah maklum balas rakyat diambil kira untuk menukar kepimpinan dan kerajaan sewaktu wujud krisis kesihatan dan ekonomi serta sosial? Agenda ‘Keselamatan Malaysia’ dan ‘Agenda Selamatkan Siapa’ dua yang berbeza dalam suasana orang sedang kecewa, marah, terdesak, muak dan bosan dengan apa yang sedang berlaku.

Lima, gencatan politik tidak dilaungkan tetapi ‘agenda politiking’ dalam suasana tidak menentu besar impaknya ke atas penyandang dan pengganti walau siapa ketuanya.

Enam, siapakah sebenarnya mempunyai ‘angka’ ajaib yang meyakinkan: Muhyiddin, Anwar atau Ku Li; ini tidak bersifat tetap dan boleh sentiasa berubah jika pendekatan ‘rundingan-damai’ longgar dibuat. ‘Kuda Trojan’nya siapa?

Tujuh, ekoran kenyataan Anwar telah membawa kepada perpecahan dalam UMNO dan pertembungan yang lebih intensif antara UMNO dan PPBM serta beberapa personaliti termasuk Ku Li? Menguntungkan siapa sebenarnya? UMNO yang menjadi kingmaker jika [email protected] bloc kini berbelah bahagi.

Lapan, jika PPBM bersetuju bekerjasama dengan PKR, ia juga akan membawa kepada kebimbangan kedudukan kem Azmin dalam PPBM. Adakah PPBM juga berpecah?

Sembilan, usul undi tidak percaya bukan baharu tetapi adakah ini bersifat ujian ‘demokrasi’, ‘hak Ahli Parlimen’ atau ‘kepentingan diri’.

Sepuluh, kesetiaan tidak berbelah bahagi sudah tidak wujud lagi tetapi ‘catur politik’ menjadi inti pati.

Sebelas, pertembungan personaliti ketara. Muhyiddin, Anwar, Ku Li, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak mendominasi. Di manakah Dr Mahathir? Apakah akan diwujudkan fraksi atau wujud entiti ‘penjajaran koalasi gabungan besar’ baharu?

Dua belas, 1998, krisis ekonomi membawa kepada pemecatan Anwar. Sepuluh tahun selepas itu (2008), Anwar terlibat dalam krisis politik bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi. 2020 pula krisis kesihatan. Di manakah etika politik pemimpin dan barometer moral?

Tiga belas, adakah ini untuk menghukum PPBM menyebabkan sebahagian UMNO dan PKR sedia bekerjasama? Atau, ini langkah membawa semula PPBM ke UMNO, jika masih terbuka.

Empat belas, jika UMNO tidak sokong Anwar, DAP dan Dr Mahathir, siapakah yang disokongnya?

Lima belas, di manakah pendirian mutlak UMNO dalam kerajaan Muhyiddin; bertahan atau merangka metafora berlainan?

Seri Paduka mempunyai pelbagai pilihan. Pembubaran mungkin pilihan terakhir yang terpaksa dilakukan jika tiada gencatan politik.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agung mesti terus dipertahankan kewibawaannya untuk membuat keputusan yang paling mencabar ini. Putrajaya untuk siapa?

*Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!