Hubungan dan dasar berkecuali

Hubungan Malaysia-China diperkukuhkan lagi dengan lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu.
Hubungan Malaysia-China diperkukuhkan lagi dengan lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu.
A
A
A

Hubungan Malaysia-China diperkukuhkan lagi dengan lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia, kali pertama adalah pada 2018 selepas beliau dilantik menjadi Menteri Luar China.

Wang Yi juga menganggotai Chinese State Councilor yang merupakan kuasa pentadbiran paling utama di China. Selain melawat Malaysia, Wang Yi dijadualkan untuk melawat beberapa negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand serta Laos.

Ketika lawatan ke Malaysia, Wang Yi telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemimpin tertinggi negara seperti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kedua-dua pemimpin telah bertukar-tukar pandangan secara terbuka berhubung bagaimana menangani cabaran semasa, misalnya penularan virus Covid-19, isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan serta bagaimana untuk mengembangkan hubungan China-Malaysia dalam jangka panjang.

Apa yang penting sekali pada penghujung perbincangan para pemimpin Malaysia serta Wang Yi telah mencapai sepakat untuk mempergiatkan kerjasama untuk memerangi pandemik Covid-19. China bersedia untuk terus berkongsi pengalaman dan kepakaran mengenai kawalan dan terapi Covid-19 dan untuk berkolaborasi dalam penyelidikan, pengembangan, pengeluaran dan pemerolehan vaksin.

Malaysia telah disenaraikan oleh Beijing sebagai ‘penerima keutamaan’ daripada empat vaksin China untuk koronavirus yang kini dalam percubaan peringkat akhir.

Semasa sesi perbincangan Malaysia dan China telah bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama Belt and Road Initiative (BRI). Kedua-dua negara terus komited dalam projek taman perindustrian berkembar iaitu Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Jalur Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek-projek lain bagi memastikan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan kedua-dua negara pada kadar yang lebih pantas. Wang Yi telah menegaskan bahawa China bersedia untuk terus mengimport minyak sawit Malaysia.

Isu Laut China Selatan turut dibincangkan antara Wang Yi dengan pemimpin Malaysia. Kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan. Kedua-duanya berpandangan bahawa Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi medan percaturan politik kuasa-kuasa besar dan menjadi tumpuan kapal perang.

Semasa perbincangan, Malaysia dan China telah menegaskan begitu pentingnya Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) serta Code of Conduct in South China Sea bagi meminimumkan ketegangan. Oleh yang demikian, China harus menepati komitmennya terhadap DOC supaya negara-negara Asia Tenggara yang lain tidak berasa tergugat dengan kehadiran tentera China di Laut China Selatan sehingga mendesak mereka untuk mencari perlindungan daripada AS.

Artikel Berkaitan:

Memujuk

Ada sesetengah pemerhati politik berpendapat lawatan Wang Yi bertujuan untuk memujuk Malaysia serta beberapa negara Asia Tenggara supaya tidak menyertai atau menyokong kumpulan kerjasama antara AS, India, Jepun dan Australia. Kumpulan berempat ini dikenali sebagai Quad yang dianggap suatu perimbangan kepada hegemoni China di Asia Pasifik.

Pendirian Malaysia adalah berteraskan kepada dasar berkecuali. Malaysia memperjuangkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN semenjak tahun 1970-an lagi. Sejajar dengan prinsip ZOPFAN sudah pasti Malaysia tidak akan menyertai mana-mana pakatan ketenteraan sama ada dianjur oleh AS atau sebaliknya. Oleh demikian, buat masa kini tiada tanda-tanda Malaysia berhasrat untuk menyertai atau menyokong Quad yang dikaitkan dengan sentimen anti-China. Dasar Malaysia konsisten semenjak dahulu lagi.

Sejarah telah membuktikan sewaktu ‘kehangatan Perang Dingin’ di Asia Tenggara pada 1960-an ketika tentera AS masih berada di Vietnam Selatan, Malaysia tidak menyertai Organisasi Perjanjian Asia Tenggara atau SEATO. Malaysia menghargai persahabatannya dengan China dan mahu mengekalkan hubungan istimewa yang telah terjalin semenjak 1974. Lawatan Wang Yi lebih bersifat untuk mempereratkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Beijing. Pada masa yang sama Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi serta sosial dengan semua kuasa besar yang lain termasuk dengan negara-negara ahli Quad.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya