X

Kindly register in order to view this article
!

Panadol pikat hati orang asli

Dr Ahmad (kiri) bersama salah seorang penduduk Orang Asli ketika mengadakan lawatan ke salah sebuah perkampungan Orang Asli, baru-baru ini.
A
A

Berjuang untuk melindungi dan memulihara alam semula jadi di negara ini bukanlah perkara baharu baginya, jauh sekali daripada mengejar populariti.

Apatah lagi alam semula jadi sudah menjadi darah daging Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail.

Selama beberapa dekad, Dr Ahmad, 64, telah meletakkan seluruh jiwanya kepada MNS, sebuah persatuan yang memperjuangkan warisan alam semula jadi negara sejak 80 tahun lalu.

Mengenali sosok tubuh pencinta alam ini, beliau jelas berpegang teguh kepada misi MNS.

“Misi tersebut diterjemahkan kepada tiga bahagian teras iaitu memulihara spesies dan habitat atau tapak, mempromosikan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) serta menyumbang kepada reformasi dasar nasional dan antarabangsa,” katanya.

Ujarnya, dalam usaha mencapai objektif MNS untuk melindungi, memulihara dan menguruskan alam semula jadi, pendidikan dan penglibatan aktif ahli sangat penting.

“Melalui sekolah KPA dan cawangan MNS, diharapkan mesej persatuan ini akan sampai ke akar umbi,” kata beliau.

Dr Ahmad (berdiri) ketika menyertai salah satu program bersama masyarakat.
Dr Ahmad (berdiri) ketika menyertai salah satu program bersama masyarakat.

Kecintaan Dr Ahmad terhadap alam semula jadi bermula semasa beliau masih belajar di sebuah universiti tempatan dan kerap memasuki hutan di negara ini untuk mengenali flora dan fauna dengan lebih dekat.

“Keindahan alam semula jadi di bumi khatulistiwa ini mempunyai pelbagai khazanah dan warisan yang perlu dipertahankan.

“Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dunia dari segi kepelbagaian biologi, maka ia perlu terus dilindungi dan dipulihara,” katanya kepada Sinar Ahad.

Masuk hutan

Dr Ahmad yang dilahirkan di Perak berkata, kehidupannya adalah mengenai alam semula jadi dan sains. Ini termasuklah berjumpa dengan masyarakat orang asli yang menjaga hutan.

“Saya mengenali orang asli sejak masih belajar. Pada waktu itu mereka masih malu, bersembunyi di sebalik pokok, mengikuti pergerakan kita secara senyap, berpindah-randah, berburu dan hanya ketua mereka berkomunikasi dengan orang luar,” katanya.

Mengimbas kembali kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika pertama kali mengenali orang asli, beliau telah memasuki kawasan hutan yang terletak di Taman Negara, Pahang pada tahun 1977.

“Ketika itu saya berusia 20 tahun dan saya melihat sendiri kehidupan mereka. Saya lihat mereka menjauhkan diri daripada orang luar dan saya cuba mendekati mereka.

“Saya tidak akan melupakan satu peristiwa yang berlaku semasa pertama kali bersama mereka. Saya membawa panadol bersama sebagai persediaan sekiranya saya diserang demam,” cerita beliau.

Beliau berkata, pada hari pertama di sana, ada seorang penduduk orang asli demam dan beliau memberikannya panadol.

“Bermula detik itu, mereka sangat baik dengan saya dan sentiasa bertanyakan mengenai panadol setiap kali saya ke kawasan mereka.

“Mereka juga dengan senang hati akan membantu saya menyiapkan kajian saya, antaranya mengenai pemerhatian pergerakan lotong,” katanya.

Dr Ahmad bersama seorang kanak-kanak orang asli.
Dr Ahmad bersama seorang kanak-kanak orang asli.

Dr Ahmad berkata, mereka mengetahui kegunaan panadol kerana mereka merasai perubahan dalam tahap kesihatan mereka selepas mengambil panadol.

“Sebenarnya mereka sudah ada pengetahuan mengenai kegunaan panadol tetapi mereka tidak pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana perjalanan yang jauh, perlu menaiki bot dan tiada jalan raya. Mereka hanya mendapatkan bekalan panadol daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Mereka akan bertanya mengenai panadol atau ‘ada bawa barang tak’. Mereka sangat berbeza berbanding mula-mula saya bertemu mereka. Kali kedua dan seterusnya mereka sudah petah bercakap dan lebih mesra dengan saya dan rakan-rakan yang lain,” katanya.

Namun, sekarang telah berubah kerana ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas mereka untuk mengeluarkan hasil hutan secara berlebihan seperti rotan, herba, orkid dan haiwan.

“Mereka mencari orang asli untuk mengeluarkan produk yang mereka mahukan dan perkara berkenaan perlu dikekang bagi memastikan khazanah alam dipertahankan,” katanya.

Dari sisi lain, seiring dengan peredaran zaman, kebanyakan masyarakat orang asli merupakan golongan terpelajar.

“Ada dalam kalangan mereka menjadi golongan profesional dan memegang jawatan penting dalam sektor korporat. Saya amat bangga dengan kejayaan mereka,” katanya.

Dr. Ahmad kekal sebagai Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) 2020-2022 dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu yang diadakan secara maya pada September lepas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!