Pantun dan kebijaksanaan Melayu

Tiba-tiba pantun menjadi polemik ekoran penafsiran yang menyentuh persoalan gender bagi pantun sebaran Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tiba-tiba pantun menjadi polemik ekoran penafsiran yang menyentuh persoalan gender bagi pantun sebaran Dewan Bahasa dan Pustaka.
A
A
A

TIBA-TIBA pantun menjadi polemik ekoran penafsiran yang menyentuh persoalan gender bagi pantun sebaran Dewan Bahasa dan Pustaka yang berikut:

Apa guna berkain batik,

Kalau tidak memakai capal;

Apalah guna berbini cantik,

Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Orang Melayu sangat sensitif tentang isu yang melibatkan status dalam rumah tangga, apatah lagi yang membabitkan makna erotis. Maka, apabila ‘menumbuk sambal’ ditafsirkan sebagai hubungan intim, muncullah pandangan yang polemikal, seolah-olah makna tafsiran itu suatu ketetapan dan menjadi dosa. Padahal, pantun itu masih terbuka ditafsirkan dengan perspektif yang berlainan.

Bukankah kepelbagaian tafsiran itu menunjukkan tingginya permainan bahasa dan lambang oleh pujangga Melayu? Sebenarnya ada lagi pantun yang sama diucapkan dalam versi berbeza:

Apa guna berkain batik,

Artikel Berkaitan:

Kalau tidak dengan sucinya;

Apalah guna berbini cantik,

Kalau tidak dengan budinya.

Begitulah pantun, suatu genre puisi tradisional Melayu yang asli, sarat dengan perlambangan dan terbuka kepada tafsiran. Nilai puitikanya sangat tinggi dan wajar menjadi kebanggaan orang Melayu. Perbincangan dan analisis terhadap nilai pantun perlu lebih terbuka dan semua orang Melayu perlu memahaminya dalam konteks sastera yang bersifat polisemik.

Pantun ialah milik asli masyarakat Melayu yang turut diakui oleh pengkaji Barat. Tradisi perpuisian di alam Melayu sebenarnya sudah mantap sehingga genre pantun tidak ada bandingannya di alam Eropah sekali pun, lalu Perancis menggunakan nama pantoum untuk menjeniskan genre ini.

Pantun sentiasa menjadi topik yang relevan dibincangkan kerana terlalu banyak hikmah (wisdom) yang perlu dicungkil. Jika berkenan, telusuri sahaja buku Pantun Melayu: Bingkisan Permata (Harun Mat Piah, 2001), An Introduction to Classical Malay Literature (R.J. Wilkinson 1932), An Introduction to Malay Pantun-AIMP (Goh Thean Chye, 1980), Alam Puisi Melayu (Darus Ahmad 1957), Alam Pantun Melayu (Francois-Rene’-Dallie 1988) dan Kumpulan Pantun Melayu (Zainal Abidin Bakar, 1983).

Begitu juga Berbalas Pantun (Oma de Sequire, 1966), Bongsu Pinang Peribut (Hamsiah Abdul Hamid 1964), Cerita Sulung Jawa (Jamilah Haji Ahmad, 1978), Kalung Bunga Buku 1 (Zainal Abidin bin Ahmad, 1964), Koleksi Pantun Hans Overbeck (Anwar Ridhwan), Kurik Kundi Merah Saga, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad (Tengku Iskandar Alibasyah 1995), Koleksi Pantun Brunei Darussalam, Koleksi Pantun Lisan, Kajian Puisi Melayu (Harun Aminurrashid 1960), Koleksi Pantun Zakaria Hitam, (Zainal Abidin Bakar, 1983), Lima Puluh Pantun (Setiamulia, 1965), dan Langgam Sastera Lama (Ghazali Dunia, 1984).

Daripada pantun itulah tergambar sosok peribadi bangsa Melayu yang dicirikan oleh komunalisme atau kolektivisme, bermesra dengan alam, berkomunikasi secara kiasan, berentak indah dalam pengucapan dan berhemah dalam kata-kata. Ciri sebegini mencerminkan world view Melayu dan sikapnya yang asli sebelum kedatangan pengaruh Barat yang individulistik dan berpusat pada diri.

Masyarakat Melayu tradisional sangat kuat berpegang pada adat resamnya yang berpaksikan komunaliti. Keluar daripada lingkungan masyarakatnya merupakan satu tindakan deviasi yang menandakan keasingannya. Oleh sebab kuatnya ikatan kemasyarakatan itu, bentuk puisinya juga adalah sama dan tiada nama pengarang.

Ini berbeza daripada puisi moden yang dihasilkan oleh masyarakat yang individualistik. Genre puisi moden, iaitu sajak, dicipta oleh individu yang sangat menjaga individualiti dan hak ciptanya. Tidak dibenarkan sajaknya digunakan oleh orang lain tanpa menyebut nama penciptanya.

Hikmah

Pantun tidak demikian sifatnya. Fungsi pantun adalah pelbagai tetapi semuanya masih tergolong dalam tujuan berkomunikasi antara sesama manusia, mahupun untuk berkomunikasi dengan makhluk halus iaitu dalam jampi mantera. Malahan dalam perubatan tradisional pun pantun masih mempunyai nilainya. Sukar untuk dianalisis dari segi logiknya apabila mantera pantun boleh mengubati orang.

Dalam budaya Melayu wujud amalan perucapan yang berbentuk kiasan atau tamsil ibarat bagi menjelaskan sesuatu secara berlapik kerana memang sifat manusia Melayu cenderung tidak berterus terang dalam apa-apa jua cara. Ini sifat yang sukar ditiru oleh bangsa lain kerana budaya sesuatu masyarakat itu terbentuk secara alamiah melalui perdampingan mereka dengan alam dan persekitaran yang berskala horizontal dan kepercayaan yang berskala vertikal.

Dalam perhubungan sesama manusia sama ada yang sama darjat mahupun berlainan darjat, pantun kerap dijadikan alat ekspresi kerana kesannya lebih mendalam di samping dapat menjaga kemaslahatan masyarakat. Lihatlah bagaimana pengarang Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) menyampaikan ekspresi sinikalnya terhadap golongan pemerintah yang tertakluk oleh hawa nafsunya:

Dang Nilai memangku puan,

Berembang buah pedada;

Adakah gila bagimu tuan,

Burung terbang dipipihkan lada.

Pantun tersebut mempunyai siratan makna yang sangat tajam menempelak kerakusan Sultan Mahmud hendak memperisteri Puteri Gunung Ledang walhal kewujudan Puteri Gunung Ledang itu tidak dapat dibuktikan. Tanpa mempedulikan logik realiti, Sultan Mahmud mengerahkan orang suruhannya pergi memanjat Gunung Ledang untuk meminang Puteri Gunung Ledang yang kononnya bersemayam di puncak gunung itu.

Begitulah keindahan dan kebijaksanaan atau kecendekiaan Melayu yang sekali gus menggambarkan peradabannya. Dalam hubungan ini, Francois-Rene Dallie, sarjana Perancis melihat pantun sebagai ekspresi peradaban Melayu.

Bagi beliau, pantun perlu ditelaah untuk memahami peradaban Melayu; dan begitu juga sebaliknya, untuk memahami pantun, peradaban Melayu perlu difahami dahulu. Maknanya, antara pantun dengan peradaban (atau tasawur) Melayu wujud hubungan resiprokal, saling berjerait kerana kedua-duanya memang terhubung oleh jalinan simbiotik.

Orang Melayu yang sebenarnya pemalu, tetapi tegas, tidak suka berterus terang dalam menyampaikan sesuatu tetapi berani menyampaikan secara berkias. Sebaris kata daripada mulut orang Melayu mungkin membawa maksud yang tersirat. Itulah kehebatan Melayu, tapi kini semakin pupus kehebatannya.

*Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya. Beliau juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)