X

Kindly register in order to view this article
!

Tuntutan pembaharuan Raja Thai gagal

Polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan tunjuk perasaan bagi menuntut pembaharuan dilakukan ke atas monarki di Bangkok pada Jumaat lalu. - Foto AFP Gambar kecil: Raja Maha Vajiralongkorn
A
A

TUNJUK perasaan melibatkan ribuan pelajar universiti yang berlaku sejak 10 Ogos lalu di Bangkok sehingga menyebabkan kerajaan Thailand terpaksa mengisytiharkan perintah darurat di ibu kota itu mulai jam 4 pagi Khamis lalu sebenarnya bukan untuk menghapuskan institusi beraja di negara itu.

Sebaliknya, ia menuntut supaya 10 pembaharuan dilakukan ke atas institusi beraja yang sudah berdekad-dekad bertapak ketika negara itu dikenali sebagai Siam.

Raja Thailand ketika ini adalah daripada salur galur keturunan Rama 1 iaitu bekas jeneral tentera yang telah mengasaskan Dinasti Chakri dan menguasai takhta Thailand pada tahun 1782 berikutan kematian Raja Taksin akibat kebuluran kerana melarikan diri disebabkan ibu kota Siam ketika itu, Ayutthaya jatuh ke tangan Burma atau dikenali sebagai Myanmar pada tahun 1767.

Salah satu tunjuk perasaan yang diadakan itu telah dihadiri sehingga lebih 10,000 orang di Bangkok dan para penunjuk perasaan pula menggunakan tabik tiga jari seperti dalam filem Hollywood, Hunger Games dalam tunjuk perasaan bagi menuntut pembaharuan itu dilaksanakan.

Para penunjuk perasaan juga meminta supaya parlimen dibubarkan dan perlembagaan negara digubal semula selepas pindaan dibuat sebelum ini bagi membenarkan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn berada di luar negara tanpa melantik pemangku raja manakala Perhimpunan Kebangsaan meminda undang-undang hartanah diraja bagi membenarkan baginda mengawal sepenuhnya Biro Hartanah Mahkota.

Bagaimanapun, tuntutan itu ditolak oleh Perdana Menteri, Prayut Chan-O-cha yang juga bekas ketua tentera Thailand yang pernah melakukan rampasan kuasa secara aman pada tahun 2014.

Isu mengenai raja dianggap 'suci' di negara tersebut sehingga terdapat undang-undang kesalahan menghina raja dikenali sebagai lese majeste.

Pada peringkat awal tunjuk perasaan itu, Prayuth pernah berkata bahawa Raja Maha Vajiralongkorn yang menaiki takhta pada tahun 2016 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej telah memintanya supaya tidak menangkap sesiapa sahaja dengan menggunakan undang-undang tersebut.

Pemansuhan undang-undang tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun ke atas orang awam jika disabit menghina raja adalah antara salah satu tuntutan para pelajar universiti tersebut.

Sejumlah penunjuk perasaan membuat isyarat tiga jari seperti dalam filem Hunger Games dalam perhimpunan pro-demokrasi di Bangkok pada 20 September lalu. - Foto AFP
Sejumlah penunjuk perasaan membuat isyarat tiga jari seperti dalam filem Hunger Games dalam perhimpunan pro-demokrasi di Bangkok pada 20 September lalu. - Foto AFP

Menurut portal berita New Mandala, tuntutan lain para pelajar universiti tersebut ialah menggugurkan imuniti undang-undang dinikmati oleh raja, memansuhkan undang-undang lese majeste selain mengampunkan banduan yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang tersebut dan membuat pembahagian jelas antara aset peribadi raja dengan harta kerajaan.

Para pelajar tersebut turut menuntut supaya mengurangkan pemberian cukai terhadap institusi beraja, menghapuskan semua pejabat diraja, mendedahkan semua wang yang diberikan kepada badan kebajikan diraja, raja dilarang menyuarakan pendapat politik, menghapuskan semua propaganda diraja, siasat kehilangan dan kejadian pembunuhan akibat mengkritik raja serta raja tidak dibenarkan memberikan persetujuan terhadap rampasan kuasa.

Kerajaan Thailand tidak tunduk paksaan

Walaupun tunjuk perasaan masih berlangsung sehingga Jumaat lalu ketika perintah darurat masih dikuatkuasakan, Perdana Menteri Thailand pada Jumaat masih enggan tunduk terhadap desakan mereka supaya meletakkan jawatan.

Beliau mendakwa tidak melakukan apa-apa kesalahan selain berkata, darurat itu mungkin ditamatkan lebih awal dan tidak selama 30 hari jika situasi di Bangkok dapat pulih dengan segera.

Namun, tuntutan itu tidak seperti dakwaan yang dibuat oleh para penyokong pemerintahan beraja bahawa para pelajar universiti itu mahu memansuhkan sistem monarki negara berkenaan sebaliknya mereka hanya mahukan pembaharuan dilakukan terhadap institusi tersebut.

Konflik itu juga berlaku ketika pandemik koronavirus (Covid-19) masih melanda negara tersebut dan isu Raja Thailand kerap berada di Jerman dan bukannya di tanah air baginda.

Menteri Luar Jerman, Heiko Mass pernah membuat komen pada 7 Oktober lalu bahawa: "Politik berkaitan Thailand tidak sepatutnya dikendalikan dari Jerman."

Beliau membuat kenyataan itu di Parlimen negara itu bagi menjawab soalan seorang ahli parlimen berhubung desakan tentang pembaharuan demokrasi di Thailand.

Jawapan itu juga dipercayai merujuk kepada Raja Maha Vajiralongkorn, 68, yang menggunakan gelaran Rama X kerana baginda banyak menghabiskan masa tinggal di negeri Bavaria, Jerman.

Ibu Raja Thailand tersebut, Ratu Sirikit juga dilaporkan pernah mengelarkan anakanda kedua itu sebagai 'sedikit seperti Don Juan' iaitu watak dalam kisah fiksyen popular Barat kerana suka memikat wanita dan diketahui telah berkahwin sebanyak empat kali.

Permintaan para penunjuk perasaan itu juga berlaku selepas baginda menjadi Raja Thailand.

Kekayaan baginda didapati semakin bertambah sehingga dinobatkan oleh majalah CEO World Magazine pada tahun lalu sebagai yang paling kaya di dunia.

Baginda dikatakan memiliki anggaran kekayaan sebanyak AS$43 bilion (RM178.39 bilion) mengatasi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sebanyak AS$28 bilion (RM116.16 bilion) dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz sebanyak AS$18 bilion (RM74.67 bilion).

Berikutan tunjuk perasaan itu yang didakwa oleh kerajaan Thailand boleh mengancam keselamatan negara, Raja Maha Vajiralongkorn bertitah baru-baru ini bahawa negara ini memerlukan orang yang menyintai negara dan menyayangi monarki menerusi satu rakaman dan disiarkan di televisyen negara tersebut pada Jumaat lalu.

Baginda tidak membuat komen tentang tunjuk perasaan itu.

Walau apa pun, tunjuk perasaan masih diteruskan sehingga pada Jumaat lalu apabila polis terpaksa menggunakan meriam air bagi menyuraikan para pelajar yang berazam mahu tuntutan mereka itu dilaksanakan.

Justeru, konflik pembaharuan institusi beraja itu masih belum berakhir di Bangkok walaupun 65 aktivis dilaporkan telah ditangkap sejak Selasa lalu termasuk sembilan tokoh dalam pergerakan pro-demokrasi itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!