X

Kindly register in order to view this article
!

Misi serampang dua mata Lang Merah di Langkawi

Aidil Sharin Sahak
A
A

KEDAH yang masih segar dengan kejayaan mengesahkan slot ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 Ahad lalu, memilih Langkawi untuk meraikan kejayaan tersebut, di samping menjadikannya medan memperkuatkan skuad Lang Merah itu.

Ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak berkata, beliau telah merangka program yang sesuai bagi memastikan pemain-pemain skuad tersebut kekal aktif.

“Tujuan utama kami ialah untuk memperkukuhkan kerjasama antara pasukan dengan pelbagai program, bukan hanya untuk berehat. Kami masih mempunyai program-program tertentu, bagi memastikan pemain terus aktif selain melalukan aktiviti bukan bola sepak, kerana kami tidak mempunyai pertandingan selama tiga minggu.

“Lagi pun pemain-pemain telah bekerja keras dalam tujuh permainan sebelum ini, maka apa yang perlu ketika ini ialah, pemain mendapat cukup rehat dan juga untuk memastikan pemain kembali sebagai satu pasukan. Insya-Allah kami akan memberi fokus kepada TM Piala Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kedah menempah tiket ke saingan AFC 2021 selepas meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Perak, dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Perak di Ipoh, sekali gus muncul naib juara Liga Super di belakang JDT.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyifatkan, kehadiran skuad Kedah ke Langkawi sebagai misi serampang dua mata, bukan sahaja sebagai lokasi latihan tetapi juga boleh mempromosi pelancongan pulau itu, yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Pasukan akan berada di Langkawi selama tiga hari dua malam bermula hari ini. Selain latihan ringan, mengembalikan semula kecergasan menerusi kehadiran mereka ini, kita mahu sampaikan mesej keadaan pulau ini amat baik tanpa sebarang kes aktif Covid-19,” katanya yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!