Fahami prinsip untuk atasi masalah

A
A
A

KALAU kita hendak atasi kemelut politik sekarang, kita kena berpatah balik, cara titik permulaan, prinsip dan fakta.

Titik permulaan krisis sekarang adalah rampasan kuasa Parlimen oleh ketigaan (trio) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan persekongkolan Ahli-ahli Dewan Rakyat UMNO, Pas, Gagasan Parti-parti Sarawak (GPS) dan beberapa buah parti kecil.

Di segi prinsip, Malaysia adalah negara demokrasi di mana kerajaan dipilih oleh rakyat jelata. Kita pilih kerajaan melalui pilihan raya. Setiap warganegara yang cukup umur dan berdaftar sebagai pemilih berhak mengundi.

Daripada fakta pula, pada pilihan raya umum (PRU) lalu pada 9 Mei 2018, parti yang menang dan mendapat kelebihan kerusi dalam Dewan Rakyat adalah Pakatan Harapan (PH).

Maka PH tubuh kerajaan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Tetapi dalam PH, beberapa perjanjian telah dibuat menjelang PRU itu.

Salah satunya ialah Dr Mahathir akan jadi Perdana Menteri untuk satu tempoh yang tidak disebutkan berapa lama dan kemudian menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Masa perjanjian itu dibuat, Anwar masih dalam penjara dan justeru tidak dapat bertanding.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari tahun ini, persetujuan dicapai yang Dr Mahathir akan kekal menjadi Perdana Menteri sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC di Malaysia pada November ini. Majlis Presiden adalah badan pembuat dasar tertinggi PH.

Jadi kalau hari ini Anwar berusaha untuk menjatuhkan Muhyiddin dan mendapatkan jawatan Perdana Menteri maka ia adalah sebahagian daripada prinsip yang telah dipersetujui oleh PH.

Artikel Berkaitan:

Masalah sama ada kita mahu Anwar jadi Perdana Menteri atau tidak itu isu lain. Dari aspek prinsip, memang selepas Dr Mahathir adalah giliran Anwar naik menjadi Perdana Menteri.

Kita tidak ada kuasa sekat sesiapa pun jadi Perdana Menteri. Kuasa kita selesai dan berakhir apabila kita memangkah kertas undi pada 9 Mei 2018. Yang ada kuasa ahli Dewan Rakyat.

Hakikatnya bukan Anwar seorang saja boleh dilantik jadi Perdana Menteri. Ahli Parlimen yang lain pun boleh. Malah yang sedang dibicarakan atas kes jenayah pun boleh dicalonkan selagi belum disabitkan kesalahan. Tetapi tentulah kita tidak mahu orang macam itu jadi Perdana Menteri.

Dewan Rakyat ada 222 anggota. Tolak yang tidak layak atau tidak sesuai termasuk yang didapati bersalah oleh mahkamah atau sedang dibicarakan, Dewan masih ada lebih 100 ahli yang boleh dicalonkan.

Masalahnya mereka dan kita terlalu terikat dengan kebiasaan dan amalan masa lampau. Kalau ditanya, kebanyakan kita akan menyebut nama-nama yang sama. Kita tidak berani menyebut nama-nama baharu dan watak-watak muda.

Soalnya mengapa kita harus takut atau curiga dengan pemimpin muda? Bukankah pemimpin yang ada hari ini juga muda apabila mereka memasuki politik? Mengapa hari ini kita tidak yakin dengan orang muda?

Dunia bebas kini sedang melalukan pertumbuhan semula (regeneration) kepimpinan selari dengan perubahan sains dan teknologi, gaya hidup dan nilai-nilai kesejagatan. Banyak negara maju hari ini yang mempunyai Presiden atau Perdana Menteri wanita dan anggota Kabinet muda.

Mungkin bukan sekarang tetapi pada PRU15 nanti kita wajib mula melakukan proses ‘pemudaan’ kepemimpinan negara kita. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara