Kelantan United sasar suku akhir Piala Malaysia

Kelantan United bakal membuat penampilan sulung pada saingan Piala Malaysia musim ini. - Foto Kelantan United Football Club
Kelantan United bakal membuat penampilan sulung pada saingan Piala Malaysia musim ini. - Foto Kelantan United Football Club
A
A
A

KELANTAN United FC meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir pada penampilan sulung mereka dalam kempen TM Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 22 November depan.

Ketua Jurulatih Kijang Hijau, Nazrulerwan Makmor berkata, fokus akan diberikan untuk memperkemas posisi tengah dan jentera serangan pasukan bimbingannya dalam tempoh kurang tiga minggu menjelang saingan berprestij itu.

“Apabila diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan ini, saya tahu ia menjadi tugas mencabar dan tanggungjawab besar sebab ini pasukan yang mempunyai penyokong hebat dan fanatik di negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas pemain kebangsaan itu menggantikan Zahasmi Ismail yang direhatkan pengurusan Kelantan United ada September lepas, susulan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Premier musim ini.

Kelantan United layak ke saingan Piala Malaysia selepas menduduki tangga kelima Liga Premier selepas mengumpul 15 mata daripada 11 perlawanan.

Sementara itu, pemain tengah Kuching FA, Joseph Kalang Tie berkata, layak ke saingan Piala Malaysia adalah rezeki buat diri dan pasukan kerana pengurusan pasukan sebelum ini menyasarkan untuk kekal dalam saingan Liga Premier musim depan.

“Jika tengok daripada awal musim, Kuching FA begitu bergelut dengan kekalahan demi kekalahan sebelum akhirnya kami bangkit untuk raih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir (Liga Premier). Ini membuktikan sikap tidak putus asa satu pasukan menjadikan ia sesuatu yang manis untuk dikenang,” kata pemain berusia 33 tahun yang pernah beraksi bersama Terengganu, Pahang dan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Kuching FA mengesahkan tiket ke kejohanan bola sepak tertua tanah air itu selepas menduduki tangga keenam dengan kutipan 13 mata daripada 10 perlawanan.

Kuching FA mempunyai baki satu perlawanan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 9 Oktober lepas, yang terpaksa ditunda ke tarikh baharu.

MFL sebelum ini memutuskan perlawanan berkenaan ditunda memandangkan pemain Kuching FA perlu menjalani kuarantin Covid-19 selama 14 hari apabila kembali ke Sarawak dari 4 hingga 18 Oktober seperti ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang menduduki tangga keempat Liga Premier pada musim ini, tidak layak beraksi pada saingan Piala Malaysia memandangkan mereka merupakan pasukan feeder kepada JDT yang bermain dalam Liga Super.