Surat tular Zahid Hamidi sokong Anwar disahkan palsu

Ibrahim mengesahkan di Facebooknya bahawa surat tular kononnya Ahmad Zahid menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah palsu.
Ibrahim mengesahkan di Facebooknya bahawa surat tular kononnya Ahmad Zahid menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah palsu.
A
A
A

SHAH ALAM - Surat yang tular kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi serta setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu disahkan palsu.

Surat bertarikh 11 Oktober 2020 itu yang memaparkan logo UMNO tersebar di media sosial sejak tengah hari tadi.

Surat yang didakwa dihantar sendiri oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu turut memaparkan tandatangan beliau sebagai pengutus surat.

Ia turut ditandatangani Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi dan penyokong.

Dalam surat tiga halaman itu, Ahmad Zahid berkata, sokongan tersebut turut didokong Ahli-ahli Parlimen UMNO.

“Tujuan mengemukakan warkah ini untuk seikhlasnya mengesahkan bahawa patik bersama YB Dato’ Seri Najib Bin Razak selaku Ahli Parlimen Pekan (P085) dan sejumlah Ahli Dewan Rakyat UMNO telah menarik balik sokongan dan kepercayaan kami kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (P143).

“...dan memberi sokongan dan kepercayaan kami yang tidak berbelah bahagi dan setia kepada YB. Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson (P132) untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan,” katanya.

Bagaimanapun, pegawai media Ahmad Zahid, Datuk Dr Ibrahim Yahaya mengesahkan bahawa surat itu palsu.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerja fitnah yang berterusan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Dalam surat itu, Ahmad Zahid turut didakwa berkata, mereka membuat pendirian seperti yang dinyatakan sehingga tamatnya Sidang Parlimen Ke-14, untuk mengelakkan pilihan raya umum sewaktu penyebaran koronavirus (Covid-19) dan kegawatan ekonomi.

Katanya, pendirian berkenaan juga diambil berikutan keresahan dan kekecewaan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan keperluan nyata untuk membuat perubahan kepada kepimpinan negara, dan demi kepentingan rakyat dan negara.