X

Kindly register in order to view this article
!

Polis rakam keterangan mangsa tunggal keracunan gas

Lokasi empat mangsa keracunan gas karbon monoksida yang keletihan dan berhenti di sebuah stesen minyak untuk membeli makanan lalu tertidur dalam keadaan enjin kereta masih hidup.Gambar: Shafee
A
A

BUTTERWORTH - Polis sudah merakamkan keterangan mangsa kejadian keracunan gas karbon monoksida dalam sebuah kereta di tapak parkir stesen minyak pada 16 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya telah mengambil keterangan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, selepas mangsa dibenarkan keluar dari wad, minggu lalu.

Menurutnya, dalam keterangannya kepada pegawai penyiasat, mangsa menyatakan bahawa dia dan tiga rakannya berhenti di stesen minyak tersebut kerana keletihan dan lapar.

"Mereka keluar membeli makanan lalu masuk semula ke kereta dan tertidur dalam keadaan enjin kereta masih hidup selain cermin tingkap tertutup rapat," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, selepas tertidur, Nor Aqilah tidak sedarkan diri sehingga sedar semula ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

"Dia tidak tahu apa yang berlaku selepas tertidur bersama tiga mangsa sehingga tersedar ketika dirawat. Ketika itu, baru dia tahu kembarnya dan dua rakannya meninggal dunia kerana keracunan gas.

"Kita tetap mengambil keterangan mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan walaupun kes tersebut disiasat sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lemas dalam kereta: Seorang lagi meninggal dunia

Dalam kejadian September lalu, tiga daripada empat pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves maut dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur ketika berehat di dalam kereta dengan cermin tingkap tertutup.

Kesemua mangsa menaiki sebuah kereta Honda Odyssey dikatakan berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth selepas pulang dari Pulau Jerejak di Bayan Baru.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Kesemua mangsa berhenti di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.

Empat sahabat itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta tersebut dengan keadaan enjin masih hidup oleh bapa Ayuni Shazwani Shabri kira-kira jam 12.30 tengah malam, 16 September lalu.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal selepas kesemuanya yang berusia 21 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada jam 4.23 petang keesokan harinya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!