Lima minit tumpas kes pecah rumah

Asmadi (empat dari kanan) bersama tujuh anggota MPV yang menerima sijil penghargaan atas kecekapan mereka menangkap penjenayah.
Asmadi (empat dari kanan) bersama tujuh anggota MPV yang menerima sijil penghargaan atas kecekapan mereka menangkap penjenayah.
A
A
A

IPOH - Kecekapan tujuh anggota pasukan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh tiba di lokasi kejadian dalam tempoh lima minit berjaya mematahkan cubaan pecah rumah di Taman Binaria di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, anggota daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti itu bertindak atas maklumat orang awam yang curiga kehadiran dua lelaki di rumah jirannya itu pada jam 5.50 pagi.

"Kita menerima maklumat menerusi panggilan Mers 999 dan tiga unit MPV dikejarkan ke lokasi kejadian telah berjaya mengepung dan menahan seorang lelaki yang berada dalam rumah mangsa.

"Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 27 tahun itu yang mempunyai 10 rekod lampau baharu keluar penjara sebulan lalu dan positif dadah jenis methamphetamine," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengenalpasti dan mengesan rakan suspek yang berjaya melarikan diri dalam kejadian itu.

"Polis merampas pemutar skru, pemotong besi dan jek kereta yang dipercayai digunakan untuk memasuki rumah mangsa.

"Kertas siasatan juga telah lengkap dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di bawah Seksyen 411 dan 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, A Asmadi menyampaikan sijil penghargaan kepada semua anggota terlibat dan bercadang memberi penghargaan sama kepada orang awam yang melaporkan kejadian itu.

Artikel Berkaitan: