Laung azan ketika puting beliung 'langgar' rumah

Tianti meninjau bahagian dapur rumahnya yang berselerak selepas kejadian ribut semalam menerbangkan zink bahagian dapur di Kampung Pasir Putih, Putatan.
Tianti meninjau bahagian dapur rumahnya yang berselerak selepas kejadian ribut semalam menerbangkan zink bahagian dapur di Kampung Pasir Putih, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Seorang peniaga keropok lekor hanya mampu melihat bumbung dapur rumahnya di Kampung Pasir Putih di sini diterbangkan angin puting beliung malam tadi.

Tianti Tanpa, 57, berkata, kejadian ribut kira-kira jam 9.15 malam itu berlaku ketika dia sedang membuat keropok lekor untuk jualan hari ini.

"Tiba-tiba angin kuat di luar dan saya terdengar bunyi zink bahagian dapur berterbangan manakala angin berpusing dari kiri ke kanan sebelum kembali semula ke bahagian dapur rumah.

"Kami sempat laungkan azan dua kali dalam tempoh kira-kira 10 minit angin itu berpusar di kawasan dapur rumah untuk menenangkan keadaan," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Menurutnya, hujan menyusul selepas saja berlaku angin dan ribut menyebabkan bahagian dapur basah serta berselerak.

"Ini kali pertama berlaku angin ribut di kawasan rumah disusuli dengan hujan lebat. Kami hanya tawakal dengan keadaan semalam tetapi bimbang juga kawasan ruang rumah terjejas," katanya.

Struktur dan bumbung Pasar Putatan rosak dan hampir runtuh dalam kejadian ribut di Putatan.
Struktur dan bumbung Pasar Putatan rosak dan hampir runtuh dalam kejadian ribut di Putatan.

Sementara itu, dalam kejadian sama, lebih 30 peniaga di Pasar Putatan terjejas selepas struktur bumbung pasar berkenaan runtuh akibat angin puting beliung.

Artikel Berkaitan:

Peniaga, Hasman Kandar, 60, berkata, kejadian itu hanya diketahuinya kira-kira dua jam kemudian.

"Saya tiba di pasar untuk meninjau keadaan meja dan barang jualan pada jam 11 malam tadi selepas menerima panggilan daripada rakan. Sebaik tiba, payung khemah untuk berniaga rosak namun barang jualan tidak terjejas kerana semua bertutup," katanya.

Susulan kejadian itu, Hasman berkata, mereka kini terpaksa berniaga di luar kawasan pasar dengan menggunakan khemah.

"Kerosakan struktur bangunan dibimbangi membahayakan peniaga menyebabkan kami terpaksa berniaga di luar memandangkan barang jualan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan masih banyak," katanya.

Terdahulu, tinjauan Sinar Harian mendapati hampir keseluruhan struktur pasar di Putatan mengalami kerosakan dan hampir runtuh akibat ribut itu.

Beberapa penduduk di kawasan berhampiran turut terjejas apabila sebahagian zink rumah diterbangkan angin dalam kejadian sama.

Peniaga terpaksa beroperasi diluar kawasan Pasar Putatan selepas struktur pasar rosak akibat ribut semalam.
Peniaga terpaksa beroperasi diluar kawasan Pasar Putatan selepas struktur pasar rosak akibat ribut semalam.