X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Dua rumah terjejas fenomena air pasang besar

Sebuah rumah di Kampung Sungai Janggut dinaiki air akibat fenomena air pasang besar pagi tadi.
A
A

KUALA SELANGOR - Dua buah rumah penduduk di Kampung Sungai Janggut di sini dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang melanda kawasan itu pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, air melimpah di dua rumah penduduk itu berikutan berlaku hakisan ban di kampung itu pada jam 6.11 pagi.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memasang satu unit pam untuk mengepam keluar limpahan air laut berhampiran parit keluar di rumah penduduk.

"Tinjauan kami mendapati kawasan penempatan dinaiki air pasang mulai beransur ansur surut dan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bersedia dibuka bagi menempatkan mangsa fenomena air pasang besar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Muhammad Izzat memberitahu, JPS kini sedang giat melaksanakan kerja-kerja baik pulih benteng penahan ombak sejak 30 September lalu.

Katanya, terdapat limpahan kecil air dikesan melepasi ban di beberapa kawasan di Kuala Selangor.

"Kawasan terlibat ialah di Bagan Pasir, Tanjong Karang, jalan masuk Apartment Budiman, Pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam dan Pantai Jeram.

"Selain itu, Bagan Pasir Penambang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jalan Persekutuan (berhampiran Pasar Raya Mustafa), Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ban di pesisir pantai di daerah Kuala Selangor kukuh dan dalam keadaan baik, selamat dan terkawal," katanya.

Dalam pada itu katanya, keadaan pantai di Selangor dilaporkan terkawal dan hanya terdapat limpahan kecil berlaku akibat fenomena air pasang besar pagi tadi.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka melanda pada hari ini sehingga Isnin ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!