Dua lagi projek ceroboh tanah di KL dibongkar

Khalid dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan mendedahkan kes projek meragukan yang dibina atas tanah kerajaan di dua lokasi berbeza.
Khalid dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan mendedahkan kes projek meragukan yang dibina atas tanah kerajaan di dua lokasi berbeza.
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah mengenal pasti dua lagi pembinaan projek yang meragukan dibina atas tanah kerajaan yang melibatkan zon guna tanah untuk kawasan lapang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata, kedua-dua tanah berkenaan digunakan untuk membangunkan dewan termasuk satu daripadanya dibina secara haram tanpa sebarang kelulusan pembangunan.

Menurutnya, projek pertama melibatkan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba iaitu atas lot 33600 Jalan Kuchai Jaya 1, Mukim Petaling seluas 0.32 hektar yang mendapat kelulusan pembangunan bertarikh 24 April 2017.

“Kes ini sama seperti kes di Jalan Imbi iaitu tanah masih milik kerajaan tetapi projek dilaksanakan dengan mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila ada kelulusan pembangunan dikeluarkan.

“Bagaimana projek ini boleh mendapat kelulusan sedangkan tanah milik kerajaan? Nama pegawai luluskan projek juga kita ada, yang terlibat ada yang masih dalam perkhidmatan dan ada juga sudah pencen,” katanya dalam sidang media khas sempena Majlis Minum Petang Bersama Media di sini, semalam.

No Image Caption

Khalid berkata, projek kedua melibatkan sebuah dewan dua tingkat iaitu Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana Lot 27679 Jalan Gombak Mukim Setapak berkeluasan 0.28 hektar.

“Ini lagi ganas, tanah milik kerajaan, bangunan langsung tiada apa (kelulusan) tapi macam banglo atau dewan dua tingkat. Tak tahu bagaimana boleh naik bangunan dan boleh diguna pakai.

“Sedangkan jika tiada kelulusan bangunan, nak dapatkan perakuan penyiapan dan pematuhan (CCC) pun tak boleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tempoh sehingga 28 Februari diberikan kepada kedua-dua pemilik bangunan untuk berhubung dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian, DBKL mahupun Kementerian Wilayah untuk penyelesaian isu tanah.

Satu laporan SPRM akan dibuat dalam masa terdekat berhubung projek berkenaan termasuk siasatan dalaman DBKL.

Khalid dalam masa sama memaklumkan sekurang-kurangnya dua kes lagi akan didedahkan dalam masa terdekat setelah mengenal pasti sebarang proses meragukan.