'Najib pun boleh jadi PM balik'

Najib dan Khalid
Najib dan Khalid
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menolak kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hilang kuasa sebagai Perdana Menteri jika tunduk terhadap tuntutan UMNO.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, perkara itu boleh berlaku memandangkan UMNO sudah menunjukkan diri sebagai parti dominan dengan mengenakan syarat sekiranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mahu mengekalkan kuasa.

"Jika Muhyiddin mengalah kepada apa yang diminta UMNO atas dasar UMNO punya kerusi terbanyak maka inilah permulaan kepada sebuah kejatuhan. Beliau boleh kekal sebagai Perdana Menteri tetapi sudah hilang kuasa kerana sebagai Perdana Menteri dia boleh tunduk kepada UMNO.

"Bulan ini UMNO minta jawatan timbalan perdana menteri dan menteri-menteri kanan, enam bulan kemudian akan minta lain pula yang akhirnya mahu jawatan perdana menteri lah," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Perak kali ke-5 di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mahu jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam Kabinet perlu diberi kepada UMNO kerana parti itu sebagai penyumbang kerusi yang banyak dalam PN.

Khalid menyempurnakan gimik perasmian Konvensyen Amanah Perak kali ke-5 hari ini.
Khalid menyempurnakan gimik perasmian Konvensyen Amanah Perak kali ke-5 hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilapor berkata, Muhyiddin ada meminta UMNO menghantar surat rasmi berhubung perincian syarat baharu kerjasama politik antara parti berkenaan dengan kerajaan PN.

Sementara itu dalam ucapannya, Khalid berkata, pergolakan politik yang tidak menentu dan kucar-kacir ketika ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi perdana menteri termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemimpin seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah masing-masing membuka langkah ke arah itu.

"Dalam keadaan politik kita yang tidak menentu, apa-apa kemungkinan pun boleh jadi, mungkin Anwar boleh menang, mungkin Ku Li, mungkin Zahid dan mungkin juga Najib boleh kembali.

"Rundingan antara Muhyiddin dan UMNO sekarang ini pun kita tidak tahu apa yang akan berlaku, semuanya boleh berubah.

"Begitu juga halnya sokongan UMNO kepada Anwar kita tak tahu sama ada ia benar-benar ikhlas atau hanya nak tunjuk kepada Muhyiddin," katanya.

Pada Mac lalu Tajuddin turut menyatakan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai 'orang nombor dua negara' adalah langkah meneruskan agenda kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malah ia satu isyarat yang tidak bagus dan UMNO tidak selesa mengenai perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tajuddin tidak puas hati agihan Kabinet untuk UMNO