Agong zahir takziah kepada keluarga Abdul Aziz

Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin meninggal dunia semalam.
Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin meninggal dunia semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin yang meninggal dunia semalam.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

"Khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara amatlah dihargai.

"Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin," demikian menurut kenyataan itu.

Allahyarham, 82, meninggal dunia pada kira-kira 11.52 malam tadi.

Allahyarham mula berkecimpung dalam arena politik setelah menyertai UMNO Cawangan Pelabuhan Klang pada 1969 dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan merupakan bekas Ahli Parlimen Shah Alam dari 2004 hingga 2008 dan memegang jawatan Menteri Pembangunan Wilayah dan Bandar pada tempoh yang sama.

Selain itu, Allahyarham turut bergiat aktif dalam Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan MPM. - Bernama

Artikel Berkaitan: