Sanitasi awam di ibu negara diteruskan

Mahadi (kiri) meninjau sanitasi awam yang dilakukan sekitar Dataran Merdeka hari ini.
Mahadi (kiri) meninjau sanitasi awam yang dilakukan sekitar Dataran Merdeka hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melakukan sanitasi awam sekitar ibu negara bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, operasi melibatkan kawasan Dataran Merdeka, Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Jalan Bukit Nenas, Jalan Petaling dan Pasar Seni sejauh 500 meter.

Menurutnya, langkah sanitasi awam ini selaras dengan perkembangan Covid-19 semasa yang memasuki gelombang ketiga.

"Kawasan yang dipilih membabitkan lokasi tumpuan awam serta persinggahan gelandangan.

"Kita memilih hujung minggu untuk melaksanakan sanitasi kerana keadaan jalan yang lengang, tiada kenderaan membolehkan operasi dapat dijalankan sebaik mungkin," katanya ketika Operasi Sanitasi Awam Dataran Merdeka hari ini.

Seramai 80 anggota daripada DBKL dan JBPM terlibat dalam operasi hari ini.

Dalam pada itu, Mahadi meminta kerjasama orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Melalui pematuhan SOP ini diharapkan warga kota dapat membantu menyekat penularan Covid-19 seterusnya berjaya memerangi pandemik ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat semalam sebanyak 629 kes baharu dan enam kematian dilaporkan dengan Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 10 kes baharu.

Anggota DBKL dan JBPM diberikan taklimat awal sebelum memulakan operasi sanitasi di Dataran Merdeka dan sekitarnya hari ini.
Anggota DBKL dan JBPM diberikan taklimat awal sebelum memulakan operasi sanitasi di Dataran Merdeka dan sekitarnya hari ini.