Tahanan positif Covid-19, kes pertama lokap di Pulau Pinang

Polis mengesahkan seorang tahanan lokap yang positif wabak koronavirus (Covid-19) semalam adalah kes pertama melibatkan lokap di Pulau Pinang.
Polis mengesahkan seorang tahanan lokap yang positif wabak koronavirus (Covid-19) semalam adalah kes pertama melibatkan lokap di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan seorang tahanan lokap yang positif koronavirus (Covid-19) semalam adalah kes pertama melibatkan lokap di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, tahanan lelaki berusia 23 tahun itu disahkan positif ketika ditempatkan di lokap transit di Balai Polis Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.

Sahabudin berkata, lelaki terbabit ditahan pada 13 Oktober lalu dan menjalani ujian saringan sehari kemudian.

"Keputusan ujian saringannya diperoleh pagi semalam dan kini semua kontak rapat kepada tahanan lokap tersebut menjalani ujian saringan untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.

"Setiap tahanan menjalani saringan di lokap transit sebelum dimasukkan ke dalam lokap polis. Bagaimanapun, seorang tahanan yang diperiksa disahkan positif," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, setelah memperoleh keputusan, pihaknya bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) segera membuat ujian terhadap kontak rapat kepada tahanan tersebut.

"Semua tangkapan baharu ditempatkan dalam lokap transit sementara menunggu ujian saringan Covid-19. Tahanan yang disahkan negatif dimasukkan ke dalam lokap polis.

"Setiap negeri mempunyai lokap transit masing-masing dengan kapasiti yang berbeza untuk menempatkan tahanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengumumkan terdapat 33 kes positif Covid-19 baharu di Pulau Pinang dan salah satunya ialah tahanan lokap.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Enam kematian, 629 kes baharu

Menurut Sahabudin, semua lokap polis akan disanitasi dari masa ke masa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sehingga semalam, Pulau Pinang mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Jawi menjadikan kedua-duanya penjara ketiga dan keempat di negara ini yang dijangkiti Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatat 27 kes aktif baru semalam menjadikan jumlah kes Covid-19 positif menjadi 217 dengan satu kematian.

Penjara tersebut kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes dalam kalangan banduan di penjara itu.

Sementara itu, Kluster Penjara Jawi mencatat lima kes aktif baharu semalam menjadikan jumlah kes positif adalah 28.

Sehingga hari ini, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 402 kes aktif dengan tiga kematian.