Warga emas maut dalam kebakaran

Seorang warga emas maut selepas kediamannya di Pangsapuri Taman Sri Manja, Petaling Jaya, terbakar malam tadi.
Seorang warga emas maut selepas kediamannya di Pangsapuri Taman Sri Manja, Petaling Jaya, terbakar malam tadi.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang warga emas maut dalam kebakaran di kediamannya di Pangsapuri Taman Sri Manja di sini malam tadi.

Difahamkan, mangsa lelaki berusia 72 tahun itu maut selepas mengalami kecederaan melecur 100 peratus di seluruh anggota badan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala dan BBP Seksyen 7 dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam.

"Setiba di lokasi dapati api sedang marak di tingkat satu pangsapuri terbabit.

"Hasil pemeriksaan, anggota bomba menemui mangsa di bahagian dapur rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 10.15 malam dan mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan kejadian terbabit.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan: