Tan Sri Abdul Aziz meninggal dunia

tan sri abdul aziz shamsuddin
tan sri abdul aziz shamsuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, meninggal dunia pada usia 82 tahun jam 11.52 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Perundingan Melayu (MPM).

"Solat jenazah akan diadakan di Bukit Damansara selepas solat subuh hari Sabtu, 17 Oktober 2020 (hari ini). Kami mohon maaf SOP PKPB mengizinkan 20 orang sahaja untuk melaksanakan solat jenazah.

"Jenazah akan dikebumikan di Gopeng, Perak," menurut MPM dalam hantaran itu.

Abdul Aziz mula berkecimpung dalam politik setelah menyertai UMNO di Cawangan Pelabuhan Kelang pada tahun 1969.

Allahyarham ialah bekas Ahli Parlimen Shah Alam dari 2004 hingga 2008. Sebelum itu pada 1975 beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham menyambung perkhidmatan sebagai Setiausaha Sulit dari tahun 1981 hingga 1999 dengan Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri keempat ketika itu.

Beliau juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan sebelum ini bergiat aktif dalam MPM serta pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan MPM. - Bernama

Artikel Berkaitan: