Penyokong Chelsea pembakar semangat Lampard

Frank Lampard
Frank Lampard
A
A
A

FRANK Lampard berterima kasih kepada penyokong Chelsea yang sentiasa memberikan sokongan pada sepanjang mengemudi kelab London dalam membawa lebih banyak kejuaraan ke Stamford Bridge.

Menurut pengendali berusia 42 tahun itu, perlawanan pertamanya berstatus pengurus The Blues ketika melayan kunjungan Leicester City di laman sendiri pada Ogos 2019 adalah perlawanan yang paling menggamit memorinya.

“Inilah kali pertama saya merasakan semangat penyokong Chelsea berada di dalam jiwa yang secara tidak langsung membarakan keyakinan untuk memburu lebih kejayaan untuk kelab khasnya penyokong yang bersama kami selama ini.

“Saya benar-benar menikmati tahun pertama bertugas bersama Chelsea adalah sesuatu yang benar-benar menonjolkan keazaman tinggi dalam kalangan penyokong The Blues yang mahukan lebih banyak trofi kejuaraan.

“Inilah momen yang akan selalu diingati bersama pemain ke-12 ketika saya keluar di Stamford Bridge suatu masa nanti,” katanya yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.

Lampard yang lulus ujian musim pertama apabila membawa kelab milik Roman Abramovich pada kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) akan melayan kunjungan Southampton pada malam esok.

Tegas bekas pemain tengah Chelsea itu, dia akan memanfaatkan sepenuhnya kepercayaan diberikan pengurusan kelab berkenaan selepas diberikan peruntukan yang bagi menyaingi gergasi liga Inggeris lain.

“Ini adalah kelab yang terbaik kerana tidak semua pengurus bernasib baik dapat menempuh perjalanan di sebuah kelab bola sepak yang begitu cemerlang.

Artikel Berkaitan:

“Pengurusan juga telah menambah baik skuad musim ini yang bertujuan merapatkan jurang seperti Liverpool dan Manchester City, jadi kita tahu apa yang diperlukan untuk meraih kejayaan di sini.

“Kami mahu melakukannya dengan baik dan kami tahu banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat itu, tetapi semua itu tidak berjaya kecuali semua pemain-pemain memberikan yang terbaik sepenuh jiwa masing-masing,” katanya.

Chelsea kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.