Mageran 2.0 boleh ambil alih kerajaan

Mohammad Tawfik Yaakub
Mohammad Tawfik Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang telah dibubarkan 49 tahun lalu boleh diwujudkan semula sebagai badan pentadbiran sementara negara sekiranya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan untuk menggantung Dewan Rakyat atau prorog Parlimen.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, berdasarkan perkembangan terkini kemelut politik tanah air, beliau menjangkakan tindakan prorog adalah paling wajar dilaksanakan Seri Paduka Baginda.

Bahkan, katanya, titah nasihat terbaharu Al-Sultan Abdullah yang mahu ahli politik bermuhasabah supaya negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik ketika berdepan ancaman Covid-19 memperlihatkan ‘bunga-bunga’ untuk prorog dilaksanakan.

“Menurut perlembagaan, Agong boleh melakukan prorog atau membubarkan Parlimen. Namun dalam keadaan sekarang, adalah mustahil untuk Parlimen dibubarkan mengambil kira ancaman wabak Covid-19 yang membimbangkan.

“Saya lebih lihat bahawa Al-Sultan Abdullah mempunyai peluang untuk memprorog atau menghentikan sementara Parlimen.

“Baginda boleh memanggil untuk mewujudkan Mageran 2.0 bagi mentadbir semula negara dengan ahli-ahlinya dilantik daripada kalangan profesional dan perkhidmatan awam seperti Mageran 1.0 sebelum ini,” kata Mohammad Tawfik kepada Sinar Harian semalam.

Mageran pernah ditubuhkan pada 1969 susulan pengisytiharan darurat disebabkan tragedi 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, Mageran telah dibubarkan pada tahun 1971. Bagi mengelakkan berulangnya insiden perselisihan kaum pada masa hadapan, kerajaan ketika itu bersetuju untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, rakyat kini bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak dalam konteks perlembagaan ada.