Bentuk norma politik baharu

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS ‘Langkah Sheraton’, negara sekarang ini menyaksikan satu lagi langkah yang mungkin akan mewujudkan satu jajaran baharu politik negara. Ini selepas ‘Langkah Le Meridien’ yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya mengembalikan semula politik negara ke kancah kekalutan.

Kalau ‘Langkah Sheraton’ menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), jadi apakah Langkah ‘Le Meridien’ juga bakal melakukan perkara yang sama kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tetapi naratif kepada kedua-dua langkah tersebut sebenarnya terpasak kepada satu hakikat yang tersirat bahawa politik negara masih lagi dalam proses penambahbaikan ke arah demokrasi yang matang.

Cuma ia berlaku ketika politik kepartian masih terhambat dengan kerangka pemikiran lama.

Tiada lagi istilah ‘Abang Besar’, parti terbesar, terkuat dan dominan yang sinonim dengan politik kepartian masa lalu. Nasib baik di sebalik segala haru biru, terlihat perubahan ketara dalam kalangan rakyat yang semakin berani bersuara dan memberikan pandangan tanpa gentar dan terbuka, sesuatu yang tidak berlaku sebelumnya.

Ini secara tidak langsung menjadikan politik tidak lagi eksklusif kepada ahli politik semata-mata. Wujudnya penghakisan monopoli berpolitik yang terlalu bergantung kepada orang politik sememangnya indikasi yang baik bagi mewujudkan politik dan demokrasi yang sihat.

Dan jelas terbukti bahawa meletakkan politik di tangan orang politik sahaja memang membahayakan negara.

Artikel Berkaitan:

Jelas, mereka hanya menggunakan politik sebagai alat untuk berkuasa dan memperoleh laba tanpa mempedulikan apa-apa.

Sebab itu ini masa yang sesuai untuk rakyat mula mengendurkan kepercayaan, malah mungkin kebergantungan mereka kepada orang politik.

Ketika ini, kita disarankan supaya hidup dengan norma baharu disebabkan pandemik Covid-19. Justeru, barangkali kita juga patut untuk membentuk norma politik baharu.

Kalau orang politik ketika ini berada dalam fasa peralihan dan sedang membentuk norma baharu dalam amalan berpolitik mereka, maka kita juga harus melakukan perkara yang sama.

Norma politik baharu yang patut dibentuk ketika ini adalah untuk menjadi lebih objektif dalam menilai orang politik. Sebagai rakyat yang mengundi, kita patut menilai dan membanding dasar atau tindakan mereka secara seimbang dari kedua-dua pihak, tanpa prejudis, sentimen, wasangka dan ketaksuban.

Rakus

Kecerdasan politik sepatutnya digunakan dalam menilai orang-orang politik. Sebab itu kita tidak sepatutnya mendengar sesuatu perkara secara sepihak dan menulikan telinga kepada satu pihak yang lain.

Kalau ini berlaku, perspektif politik kita akan cacat dan herot. Maka jangan haraplah akan berlaku proses pencerdasan minda politik.

Malah, ini akan membuka ruang buat orang politik untuk menjajah dan membekukan minda lantas kembali rakus meratah kuasa atas kejumudan pemikiran politik massa.

Sudahnya, orang politik berterusan kaya dan berkuasa, tetapi rakyat masih terus leka dan menderita. Mereka yang buat gara-gara, kita tanggung bahana.

Mereka berterusan merencanakan sentimen berbanding mengemukakan dasar dan penyelesaian masalah bagi memastikan kita sentiasa terperangkap dalam pusaran ganas permainan politik yang membinasakan.

Harus diingat usia politik itu singkat. Nyawanya bergantung kepada emosi dan persepsi, nafasnya berbau falasi serta tipu daya dan kerjanya selalu membelit dan memporak peranda.

Sebab itulah tidak akan maju sesuatu bangsa kalau politiknya terus menerus bergantung dan cari makan dengan berpolitik.

Oleh yang demikian, kecerdasan politik berguna untuk menepis dan mengimbangi kedangkalan berpolitik supaya kepala kita selamat daripada gilotin politik algojo siasah yang lahapkan kuasa.

Algojo siasah ini tidak peduli walaupun bayi baru bercerai tali pusat di Sabah baru-baru ini mati sekalipun asalkan matlamat politik tercapai.

Mungkin norma politik baharu boleh bermula dengan asuhan minda kita supaya selalu berfikir melewati kerangka politik yang bersifat kepartian.

Sepatutnya politik mesti dilihat dari sudut kenegaraan dan kepentingannya sebagai alat mencapai kemakmuran bersama, bukan medan untuk bertikam dan bersabung orang politik yang akhirnya mematikan jiwa dan idealisme warga.

*Mujibu Abd Muis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)