X

Kindly register in order to view this article
!

Kita belum adil kepada kaum hawa

A
A

PARA hukama berkata, “Wanita bukannya dijadikan daripada tulang kepala untuk dihentak-hentak atau daripada tulang kaki untuk dipijak-pijak.

Sebaliknya wanita dijadikan daripada tulang rusuk letaknya di belakang lengan untuk mendapatkan perlindungan dan dekat pula dengan pangkal hati untuk mendapatkan kasih sayang.”

Sejujurnya, pernyataan ini cukup besar bagi menggambarkan betapa kaum hawa perlu dihargai dan dihormati. Pun begitu, isu-isu berkaitan penganiayaan terhadap wanita tidak akan habis selagi kita hanya berceritera tanpa memperkukuhkan tekad untuk melindungi mereka.

Hakikatnya, kita masih belum berlaku adil kepada wanita. Menurut perspektif Islam, kaum hawa darjatnya cukup tinggi sehinggakan pihak lelaki diwajibkan melindungi para wanita.

Berkaitan hal ini, ALLAH telah berfirman, “Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab ALLAH telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian harta mereka.” (Surah An-Nisa’ ayat 34).

Ini bermakna lelaki diciptakan oleh ALLAH untuk menghormati dan mengangkat darjat wanita. Lelaki adalah dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu, isteri, anak perempuan serta saudara perempuannya.

Bagi perspektif psikologi, lelaki sebenar tidak akan meleraikan cinta, sebaliknya sentiasa membugarkan cinta. Sesungguhnya kebahagiaan wanita akan memberi kekuatan kepada seseorang lelaki.

Pentingnya para suami membahagiakan wanita selaras dengan sabda Nabi SAW, “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita solehah? Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Riwayat Abu Daud).

Justeru, wanita perlu menolak lelaki yang bertoksik kerana itulah apabila kanak-kanak diminta melukis lelaki yang mendera perempuan, mereka akan melukis rupa lelaki seperti raksasa, hatta bapanya sendiri.

Bantu

Sebetulnya, ingatan saya terhadap jiran wanita yang meminta perlindungan di rumah keluarga saya kerana dipukul oleh suami yang mabuk masih segar dalam ingatan. Kenapa masih segar? Ini kerana peristiwa berkenaan sering berlaku kini.

Tambahan pula dengan skop kerja saya dalam bidang psikologi kaunseling membolehkan saya bertemu dengan pelbagai kes penderaan terhadap wanita yang begitu menyayat hati.

Ada ketikanya, tanpa sedar air mata saya mengalir mendengar perkongsian wanita yang didera suami dan terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang bersama seorang anak kerana semua bajunya telah dibakar.

Pada hemat saya, walaupun telah lebih 40 tahun peristiwa jiran saya meminta perlindungan daripada ibu bapa saya, namun plotnya hampir sama kini.

Ya benar, penambahbaikan telah pun dibuat oleh pihak yang berkenaan, tetapi sehingga kini di negara kita masih belum terdapat Pusat Keganasan Domestik Kebangsaan untuk wanita. Hasil carian maklumat, saya begitu tertarik dengan konsep serta struktur yang disediakan pusat seperti itu di United Kingdom.

Pusat tersebut bukan sahaja membantu wanita yang didera dan dicabul, malah merangkumi aspek kewangan, bantuan guaman serta orientasi seksual. Pusat ini juga mempunyai talian khas dengan pelbagai jabatan yang berkepentingan.

Bagi berlaku adil terhadap wanita, saya menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berilah fokus utama untuk membina pusat tersebut.

Walaupun pelbagai geran telah diberikan kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan untuk membela wanita, namun ia masih belum memadai.

Ingatlah, punca bagi segala masalah datangnya daripada pembinaan keluarga. Kegagalan kita menjaga wanita secara langsung menggagalkan usaha kerukunan rumah tangga. Semoga wanita di Malaysia dibela dan terpelihara.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!