X

Kindly register in order to view this article
!

Sepandai-pandai tupai melompat

A
A

ADA banyak kejadian pelik di negara kita tetapi kehilangan lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang disiasat berhubung kes cuci duit haram membabitkan artis tempatan selepas dia memanjat tembok pagar bangunan SPRM di Putrajaya adalah yang paling membingungkan Tok Ki minggu ini.

Setahu Tok Ki, pagar keselamatan itu jenis yang susah untuk dipanjat. Tingginya saja kira-kira dua meter.

Kalau tidak dengan bantuan tiga pengawal peribadinya, lelaki berbadan gempal itu susah nak lolos. Namun seperti adegan dalam filem, dia dapat melarikan diri hanya dalam tempoh kurang dua minit!

Lelaki itu melarikan diri sebaik dibebaskan SPRM Isnin lalu selepas menyedari dia akan ditangkap polis.

Isu ini hangat diperkatakan di media sosial. Ada yang mengaitkannya dengan teori konspirasi dan penglibatan pihak tertentu. Yalah, ini kes scammer berprofil tinggi, ada selebriti dan pegawai kanan polis disyaki terlibat.

Tok Ki percaya polis dan SPRM selama ini sudah buat kerja mereka dengan baik. Kalau tidak, tak mungkin bekas Perdana Menteri diheret dan disabitkan bersalah di mahkamah, suatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia sejak merdeka.

Malangnya, kerja keras pasukan itu melakukan soal siasat selama berminggu-minggu ke atas dalang sindiket scammer membabitkan penipuan berjuta-juta ringgit seolah-olah dilupakan.

Sebaliknya, kisah ‘Datuk Seri’ lompat pagar dan tembok bangunan SPRM pula yang menjadi tumpuan sekarang.

Sementara insiden itu terus menimbulkan misteri, kejadian aneh itu dibimbangi boleh menyebabkan kredibiliti PDRM dan SPRM pula dipertikaikan masyarakat.

Tok Ki ada masanya tak sanggup membaca komen-komen sinis terhadap polis dan SPRM di media sosial.

Maka, polis dan SPRM harus segera selesaikan isu ini. Tok Ki percaya ‘Datuk Seri’ tadi akan dapat ditangkap untuk membantu siasatan.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Tok Ki hanya geleng kepala mengikuti kisah seorang gadis berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah di Johor Bahru kerana memandu kereta Myvi di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang tentera laut.

Seorang gadis berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah di Johor Bahru kerana memandu kereta Myvi di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang tentera laut.
Seorang gadis berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah di Johor Bahru kerana memandu kereta Myvi di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang tentera laut.

Sudahlah ambil dadah, dia juga tidak mempunyai lesen memandu, kereta pula tiada insurans dan cukai jalan.

Kemalangan maut itu berlaku di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi dan tular di media sosial sejak Sabtu minggu lalu.

Semua orang ada buat salah dan ramai yang ada titik hitam dalam hidup masing-masing. Cuma dalam kes di Johor ini, ia melibatkan kehilangan nyawa seorang ketua keluarga yang mempunyai tiga anak yang masih kecil, berumur enam bulan hingga lima tahun.

Lebih buatkan Tok Ki ralat, yang mabuk sebab dadah itu ialah orang seagama dengan Tok Ki. Selalunya pemandu mabuk ini cuma libatkan orang bukan Islam kerana terlebih minum arak.

Tok Ki anggap ini juga satu tragedi kepada gadis berkenaan. Yang jadi mangsa bukan keluarga arwah sahaja tapi yang paling terkesan tentulah ibu bapa dan keluarga gadis itu sendiri.

Apa-apa pun dia sudah menerima hukuman dan meminta ampun daripada keluarga mangsa dengan linangan air mata di dalam mahkamah.

Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Menangislah air mata darah sekali pun, kejadian itu tidak dapat diubah lagi.

Tunang pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang tentera laut dalam kemalangan Sabtu lalu pula dijatuhi hukuman denda RM3,300 di mahkamah Johor Bahru.

Lelaki berkenaan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insurans.

Bagi Tok Ki, ini tidak sepatutnya terjadi kepada mana-mana pasangan. Cinta bukan sekadar di mulut. Menjaga diri dan keselamatan pasangan hakikatnya adalah ekspresi cinta yang lebih berbekas di hati.

Membiarkan pasangan, anak atau ahli keluarga yang tiada lesen menggunakan kenderaan yang tiada insurans dan cukai jalan sekadar meletakkan mereka dalam bahaya.

Akibatnya, pasangan itu yang mungkin mengikat tali pertunangan selama setahun, kini terpaksa tunggu enam tahun pula. itu pun jika cinta mereka berubah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!