'Muktamadkan dalam Perhimpunan Agung'

Langkah politik terbaharu UMNO sudah pasti akan menyebabkan kerajaan PN tergugat, namun adakah parti itu benar-benar memperoleh manfaat daripada tindakan itu?
Langkah politik terbaharu UMNO sudah pasti akan menyebabkan kerajaan PN tergugat, namun adakah parti itu benar-benar memperoleh manfaat daripada tindakan itu?
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat UMNO menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan memberi syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik seharusnya dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada 19 Disember depan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, isu besar seumpama ini akan memberi kelegaan kepada banyak pihak sekiranya dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, bukannya diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO.

Menurutnya, namun sekiranya ada keperluan mendesak, isu berkenaan boleh dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Khas.

“Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO bukanlah keputusan muktamad kerana Perlembagaan UMNO memperuntukkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal parti bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung.

"Ia juga berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya, namun segala langkah itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kamarul Zaman berkata, keputusan Mesyuarat Biro Politik itu tidak boleh membatalkan keputusan MKT sebelum ini, iaitu UMNO akan menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Sehingga tiada mana-mana mesyuarat MKT UMNO lain membatalkannya, keputusan sebelum itu masih kekal,” katanya.

Menurutnya, sudah pasti ramai ternanti-nantikan keputusan MKT UMNO yang dijadualkan Selasa depan.

“Beberapa pandangan yang mempersoalkan waktu keputusan itu dibuat, iaitu pada malam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, selain ketiadaan maklumat berhubung syarat baharu, menimbulkan spekulasi namun perlu dihormati,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman berkata, keputusan Mesyuarat Biro Politik pada 13 Oktober lalu bukanlah masalah besar yang tidak boleh diselesaikan dan masih boleh dirunding.

“Keputusan itu hanya menyebut UMNO membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong PN, bukannya memutuskan menarik diri.

Ia juga menyebut UMNO berpandangan kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan, ia membawa maksud pertimbangan untuk menarik diri itu adalah untuk menjamin kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi.

"Syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis pastinya untuk menjamin kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi. Ia saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi kelaziman untuk mana-mana pihak mengkaji kedudukan penyertaan mereka dalam pakatan dari masa ke masa.

“Contohnya, Pas ketika menjalin kerjasama politik dengan UMNO (1973-1977), pernah melakukan perkara sama.

"Muktamar Tahunan Pas ke-21, pada Julai 1975 pernah meluluskan usul Dewan Pemuda Pas Pusat, dengan pindaan Presiden Pas, yang bersetuju supaya Pas mengkaji semula penyertaannya dalam Barisan Nasional (BN). Keputusan itu didasarkan kepada rasa tidak puas hati atas pelaksanaan dasar pembangunan rohani yang belum seimbang dengan pembangunan jasmani, selain penyertaan parti-parti anggota BN dalam jawatankuasa dan perbadanan di semua peringkat tidak menggambarkan semangat kerjasama dikehendaki, di mana Pas tidak diberi peluang sewajarnya,” katanya.

Tambah Kamarul Zaman, Muktamar Tahunan Pas yang bersidang ketika itu bersetuju memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh setahun sehingga muktamar akan datang bagi menentukan sama ada Pas kekal atau keluar dari BN.

“Begitu juga Muktamar Tahunan Pas ke-23 (1977) pernah meluluskan usul Pas Ulu Kelantan, Pas Pagoh dan Pas Lipis. Muktamar ketika itu bersetuju memberi kuasa penuh kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengkaji penyertaan Pas dalam BN, tanpa merujuk kepada muktamar,” katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara oleh 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.