Kaut untung besar jual barang tiruan

A
A
A

SHAH ALAM - Ada individu mahupun sindiket tertentu sanggup menciplak hasil idea dan keringat orang lain semata-mata mahu mendapatkan keuntungan mudah.

Meskipun tahu hukuman berat bakal diterima jika tertangkap, namun itu bukan penghalang sindiket itu memperoleh keuntungan besar berikutan harga barangan ciplak yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding produk asli.

Ini terbukti apabila masih terdapat mereka yang menjual pelbagai jenis barangan tiruan yang menggunakan jenama terkenal dan popular meliputi seluar, baju, beg tangan, jeans, aksesori kenderaan di premis atau juga kaki lima dan sebagainya.

MUHAMMAD ZIKRIL
MUHAMMAD ZIKRIL

Mendedahkan isu berkenaan, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan pada tahun lalu, sebanyak 149 aduan diterima di seluruh negeri ini manakala tahun ini sehingga 13 Oktober, sebanyak 101 aduan dilaporkan.

Jumlah itu katanya, tidak termasuk aduan yang diterima secara terus daripada pihak pemilik cap dagang.

"Kebiasaan kami menerima aduan daripada pemilik cap dagang ini, mereka akan hadir sendiri ke Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP untuk membuat laporan bahawa barangan keluaran mereka diciplak," katanya dalam temubual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Muhamad Zikril berkata, pada 2019, sebanyak 61 kes telah direkodkan melibatkan 11 tangkapan dan nilai rampasan mencecah RM2.4 juta.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cawangan Shah Alam mencatatkan kes tertinggi iaitu 27 kes diikuti cawangan Petaling Jaya dengan 23 kes.

Bagi tahun ini bermula Januari sehingga 13 Oktober, sebanyak 14 kes dengan empat tangkapan membabitkan nilai rampasan bernilai RM385,999.80 dicatatkan.

Cawangan Shah Alam juga merekodkan kes paling banyak dengan lapan kes manakala tiga kes masing-masing di cawangan Petaling Jaya serta Kajang.

Mengulas lanjut, beliau percaya sejak tahun lalu juga, KPDNHEP Selangor berjaya menumpaskan 25 sindiket barangan tiruan yang terlibat menjual barangan kosmetik, ubatan, pakaian, alat ganti kenderaan, alat telekomunikasi dan lain-lain.

Selain itu, bagi tahun ini, pelbagai barangan tiruan bernilai RM2.11 juta melibatkan 16 kes telah berjaya dilupuskan.

Modus operandi sindiket

Muhamad Zikril berkata, kebanyakan barang tiruan dijual di pasar malam secara terbuka selain di premis-premis dengan harga yang jauh lebih murah.

“Kita mendapati terdapat peniaga yang menjual barang tiruan dengan harga asli biar pun barangan tersebut adalah cetak rompak. Itu secara terangan adalah satu penipuan,” katanya.

Menurutnya, mungkin secara mata kasarnya barang tiruan itu mempunyai gred yang hampir sama dengan barang asli dan sukar dibezakan oleh pembeli.

"Kita percaya wujud syarikat persendirian yang mengelirukan pengguna kononnya menjual barangan berjenama dengan tawaran potongan harga padahal mereka ini membawa masuk barang tiruan sebelum memanipulasinya konon adalah barang tulen dengan membuat 'sale' hingga orang ramai terpedaya.

"Hal sedemikian akan menyebabkan pembeli mengalami kerugian dan mungkin juga boleh mengakibatkan keselamatan dan kesihatan pengguna terganggu.

"Contohnya, pengguna membeli alat ganti kenderaan tiruan seperti minyak pelincir, brek atau tayar, kemungkinan besar boleh mengakibatkan kemalangan kerana kualiti yang rendah pada barang tiruan itu.

"Malah, sekiranya ianya adalah ubat-ubatan, sememangnya akan mengakibatkan kesihatan pembeli itu terjejas dan lebih serius lagi hingga boleh menyebabkan kematian," katanya.

Tambahnya, dengan perkembangan semasa penjualan barang secara dalam talian, taktik penjualan barang tiruan dikesan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain.

Katanya, ini terbukti apabila kes yang dibongkar sebelum ini di Petaling Jaya di mana suspek yang mempunyai pengikut lebih 13,000 orang di laman Instagram menjual barang tiruan selain menjadikan rumah kediamannya sebagai stor simpanan stok barangan.

"Saya tegaskan, kita memang memantau sepenuhnya jualan secara dalam talian," katanya.

Selain itu, bagi kegiatan sindiket-sindiket pula, KPDNHEP percaya mereka memperoleh barangan terbabit dari luar negara sebelum dibawa masuk menggunakan kargo. Barangan yang tiba itu kemudian akan disimpan di stor atau premis yang sukar dikesan pihak berkuasa seperti di kawasan industri, tertutup dan yang kurang menjadi tumpuan.

"Ada kes sebelum kita kesan peniaga menjadikan premis dobi sebagai stor simpanan barang tiruan. Selepas terbongkar, kita dapati suspek menjual baju dan seluar jeans," katanya.

Selain itu, pihaknya juga mendapati kegiatan penjualan barang tiruan itu bukan sahaja dilakukan warga tempatan, malah warga asing turut menjadi dalang kegiatan haram itu.

"Di sini, sindiket mampu memperoleh untung berlipat ganda dan mencecah ratusan ribu ringgit dalam sebulan," katanya.

Op Tiru dan Op Jeriji dilancar

Beliau berkata, pemantauan secara proaktif selain pelaksanaan Ops Jeriji dan Ops Tiru telah dilancarkan pada tahun ini.

Katanya lagi, selain itu, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar bagi memastikan setiap tindakan dapat diselesaikan dengan pendakwaan di mahkamah.

"Perkongsian maklumat risikan daripada mereka juga sangat penting bagi kita melaksanakan tindakan dan sebagainya. Sebagai contoh, awal tahun ini, kita berjaya menumpaskan sindiket warga Pakistan yang menjadi pembekal barang tiruan di sekitar Selangor.

"Kita memang amat mengalukan kerjasama erat pemilik cap dagang agar aktiviti penjualan barang tiruan dapat ditangani dengan efektif dan berkesan," katanya.

Tegasnya, pihaknya juga telah memperkenalkan satu kaedah kerjasama dengan pemilik cap dagang iaitu 'Basket of Brands' (BOB) yang mana pemilik di dalam atau luar negara boleh mendaftar di bawahnya.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan melalui KPDNHEP sangat serius dalam menangani isu barangan tiruan," katanya.

Peruntukan undang-undang

Jelas Muhamad Zikril, undang-undang yang digunakan untuk kesalahan berkaitan adalah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, dia boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan manakala jika orang itu bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Akta ini adalah pindaan bagi Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Bertindak tanpa pilih kasih

"Saya menafikan berlaku sikap ‘double standard’ dalam setiap operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh kami.

"Dalam statistik yang direkodkan, operasi dijalankan tanpa mengira tempat mahupun siapa penjualnya..tanpa mengira bangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan aspek integriti dan amanah kepada setiap pegawai dan anggotanya.

Katanya, pihaknya selalu melaksanakan program kesedaran dalam usaha membasmi gejala rasuah.

"Saya ingatkan mana-mana pegawai atau anggota saya untuk tidak terlibat dalam salah laku berkaitan integriti khususnya," katanya.

Pihaknya juga tidak mahu negara menjadi hub atau pusat penjualan barang tiruan secara berleluasa sekali gus menyebabkan pelabur-pelabur yang ingin menjalankan perniagaan di dalam negara berasa tidak yakin dan boleh mengakibatkan kerugian pada negara.

INFO

Statistik barang tiruan tahun 2019

Jumlah kes - 61

Jumlah nilai rampasan - RM2.38 juta

Jumlah tangkapan - 11 orang

Statistik barang tiruan tahun 2020 (sehingga 13 Oktober)

Jumlah kes - 14

Jumlah nilai rampasan - RM385,999.80

Jumlah tangkapan - 4 orang

Saluran aduan kepada KPDNHEP

• Online di https://eaduan.kpdnhep.gov.my

• Aplikasi Ez ADU KPDNHEP

• Hotline Aduan 1-800-886-800

• Hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran

• Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my

• Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di talian 03-8882 6088/6245

• WhatsApp 019-2794317

• Surat rasmi ke pejabat KPDNHEP berdekatan

• Bilik Gerakan/Call Centre KPDNHEP Negeri Selangor 03-5518 1810/03-5512 5485/03-5514 4393

Kronologi operasi banteras barangan tiruan oleh KPDNHEP

16 September 2020

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah gudang di Taman Industri di Subang Jaya, Selangor dan merampas minyak pelincir tiruan dianggarkan bernilai RM111,300.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan kira-kira jam 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDNHEP Putrajaya mendapati gudang terbabit dijadikan sebagai tempat pembuatan minyak pelincir tiruan.

10 September 2020

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menyerbu sebuah premis yang menjual alat ganti dan aksesori motosikal tiruan di Taman Gemilang di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Peter J Berinus Agang berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar.

3 Julai 2020

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Ibu Pejabat Putrajaya telah menyerbu sebuah syarikat yang dipercayai menjual alat ganti motosikal tiruan di Kepong.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi itu dijalankan hasil daripada maklumat dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar.

23 Jun 2020

KAJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang menjual seluar jeans dan kasut tiruan di Jalan Reko di sini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan anggota KPDNHEP cawangan Kajang hasil maklumat dan risikan.

11 Mac 2020

KANGAR - Seorang pemuda di sini, dikesan mampu meraih jualan sehingga RM120,000 sebulan daripada pengedaran jersi tiruan secara dalam talian berpusat di Taman Bukit Kayang di sini.

Kegiatan itu terbongkar selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis menyerbu sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan pusat pengumpulan dan pengedaran jersi tiruan dipercayai terbesar di wilayah utara.

5 Februari 2020

KUALA TERENGGANU - Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas 571 pakaian tiruan dalam operasi Jeriji secara serentak antara jam 11 pagi dan jam 3 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Nor Azmi Lamisza menegaskan, rampasan di dua premis perniagaan pakaian itu dilakukan hasil risikan dan aduan pemilik asal pakaian berkenaan.

23 Oktober 2019

RANTAU PANJANG - Barangan tiruan berjenama terkenal dunia yang dianggarkan bernilai RM140,000 dirampas dalam Ops Barang Tiruan di kawasan bebas cukai Rantau Panjang di sini.

Rampasan itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dengan kerjasama anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

21 Jun 2018

KUALA LUMPUR - Satu sindiket menjual barangan tiruan menukar sebuah unit apartment menjadi stor rahsia untuk menyimpan ribuan jersi berjenama cetak rompak dalam cubaan untuk menyembunyikan operasi mereka daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Tindakan mereka untuk mengaut keuntungan berlipat ganda sempena saingan bola sepak Piala Dunia 2018 bagaimanapun digagalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas stor rahsia berkenaan yang terletak di sebuah pusat perniagaan di Chow Kit, Kuala Lumpur terbongkar.