X

Kindly register in order to view this article
!

Tak hirau perintah darurat

Polis menggunakan meriam air terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi di Bangkok hari ini. - Foto: AFP
A
A

BANGKOK - Polis Thailand menggunakan meriam air ke atas kumpulan penunjuk perasaan di tengah Bangkok selepas kira-kira 2,000 peserta protes melanggar perintah darurat yang masuk hari kedua hari ini yang melarang sebarang perhimpunan diadakan.

Penunjuk perasaan prodemokrasi terbabit turut melaungkan slogan menuntut pembebasan aktivis dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha di daerah menempatkan pusat beli-belah utama di ibu negara.

"Generasi muda tidak akan memperjuangkan status quo lagi. Orang miskin menjadi bertambah miskin dan golongan kaya menjadi lebih kaya. Jurang ketidaksamaan semakin meluas," kata pelajar seni reka, Pim, 20.

Semalam, Prayut mengumumkan perintah darurat yang melarang perhimpunan melebihi empat individu, namun arahan itu tidak diendahkan kira-kira 10,000 penunjuk perasaan yang tetap mengadakan demonstrasi sambil menunjukkan isyarat tiga jari yang merupakan simbol penentangan dipaparkan dalam filem The Hunger Games.

Kedegilan peserta protes terbabit menyebabkan bekas jeneral tentera tersebut memberi amaran supaya mereka tidak melanggar undang-undang dan turut mengarahkan pihak berkuasa menutup lokasi perhimpunan yang dirancang.

Kumpulan aktivis terbabit bagaimanapun menukar lokasi demonstrasi terbabit ke daerah Pathumwan.

Difahamkan, protes tersebut diadakan sebagai bantahan terhadap penahanan lebih 20 aktivis terkenal termasuk dua individu yang didakwa melakukan tindakan keganasan ke atas Permaisuri Suthida akibat tindakan mereka mengepung perarakan kenderaan diraja pada Rabu lalu.

Salah seorang aktivis diberkas, Bunkueanun Paothong menerusi live-streaming di Facebook menafikan dia cuba mencederakan permaisuri.

"Saya tidak bersalah. Itu bukan niat saya," katanya.

Jika disabit bersalah, Bunkueanun dan Ekachai Hongkangwan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!